PADU dibangunkan penjawat awam elak data bocor kepada pihak ketiga

Rafizi bercakap pada sidang media pasca peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di kementeriannya hari ini. Foto Bernama
Rafizi bercakap pada sidang media pasca peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di kementeriannya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan 100 peratus oleh penjawat awam adalah untuk mengurangkan risiko kebocoran data kepada pihak ketiga dan vendor luar yang ada akses terhadap maklumat rakyat, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, model lama iaitu melantik vendor atau syarikat swasta untuk membangunkan aplikasi bersepadu bagi kerajaan tidak lagi sesuai kerana ia mengehadkan kemampuan kerajaan untuk mengawal sistem itu termasuk menyelesaikan masalah berbangkit dengan segera.

Menjelaskan beberapa isu berbangkit mengenai PADU, Rafizi berkata, antara keutamaan PADU adalah menggunakan kepakaran dalaman menerusi penjawat awam untuk membina sistem yang jauh lebih baik daripada syarikat swasta, selain mereka juga tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

"Kalau langgar akta (Akta 88), mereka boleh didakwa. Tapi kalau pihak ketiga, mereka tidak tertakluk kepada semua ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Melalui penglibatan penjawat awam, Rafizi berkata, sebarang penambahbaikan dalam sistem PADU juga dapat dilaksanakan dengan kadar segera, sebaliknya jika melibatkan pihak swasta perkara itu agak sukar kerana terikat dengan kontrak dengan akses terhad.

Mengenai maklum balas PADU yang diterima daripada pengguna seperti kesukaran untuk akses sistem, Rafizi berkata, mana-mana aplikasi digital sememangnya akan mempunyai masalah teknikal sama seperti aplikasi lain yang baharu dibangunkan.

"...sedangkan Apple (iOs), Amazon, Netflix dan Microsoft pun kena dikemaskinikan, ia kerana segala produk akan sentiasa menemui ruang tambah baik,” katanya sebelum dilancarkan, PADU telah dinilai dan diaudit oleh pasukan pakar berkemahiran bagi memastikan keterjaminan perlindungan data seperti yang disarankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Setakat 4 petang tadi, seramai 516,168 pengguna berdaftar dengan PADU dan daripada jumlah itu, seramai 261,158 pengguna telah selesai dengan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), dengan Selangor menjadi negeri yang tertinggi jumlah pendaftaran, katanya.

Artikel Berkaitan:

"Antara masalah-masalah yang dihadapi pengguna yang telah dikenal pasti pada masa ini lebih melibatkan isu pengetahuan pengguna dengan sistem seperti mengisi data, kamera tidak berfungsi, cache tidak dikosongkan dan sebagainya,” katanya memberi jaminan perkara itu akan terus ditangani menerusi talian penting dan saluran lain yang akan dibuka kelak.

Rafizi berkata, pihaknya akan juga memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang dikenal pasti kurang pola pendaftaran dalam PADU seperti kawasan luar bandar dan golongan kurang celik digital, bagi memastikan isu keciciran subsidi dapat ditangani.

Ditanya mengenai permintaan sebuah pertubuhan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) yang menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan PADU sehingga Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dipinda, Rafizi berkata perkara itu tidak berasas kerana data yang berada di bawah agensi kerajaan dikawal selia akta tertentu.

"Kalau kita mengikut komen-komen daripada LFL, kita kena tutup Jabatan Pendaftaran Negara, tak boleh pakai Jabatan Imigresen, kerana PADU ini data yang dikumpul, bukan data baharu, dalam kita bercakap, data kita ada dalam pangkalan data kerajaan," katanya. - Bernama