Maritim Malaysia bawa penduduk cedera terkena mesin pencanai

Mangsa yang cedera dibawa keluar dari Pulau Pemanggil melalui Medevac yang dilakukan Maritim Malaysia di Mersing pada pagi, Khamis. Foto Maritim Malaysia
Mangsa yang cedera dibawa keluar dari Pulau Pemanggil melalui Medevac yang dilakukan Maritim Malaysia di Mersing pada pagi, Khamis. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing melakukan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang penduduk di Pulau Pemanggil yang cedera di bahagian tangan, pada pagi Khamis.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihaknya menerima aduan daripada Ketua Kampung Pulau Pemanggil mengenai mangsa, Rafa Abu Niat, 63 yang cedera ketika mengendalikan mesin pencanai.

"Bot ronda Maritim Malaysia Perkasa 31 yang sedang dalam rutin Op Jaksa diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan berkenaan.

"Walaupun dalam keadaan hujan lebat dan laut yang bergelora, bantuan Medevac tersebut berjaya membawa mangsa ke Jeti Pos Maritim Malaysia, Teluk Gading pada jam 11.30 pagi," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika Monsun Timur Laut berikutan fenomena air pasang besar yang amat merbahaya kepada semua aktiviti di pesisir pantai dan juga lautan.

"Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.

Artikel Berkaitan: