'Harimau Malaya bukan pasukan lemah'

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Qatar.
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Qatar.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya tidak perlu untuk rasa rendah diri walaupun dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan E saingan Piala Asia di samping Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, pemain negara perlu menerapkan mentaliti mampu bersaing dan dalam masa sama tampil dengan semangat luar biasa untuk melakar kejutan dalam aksi kumpulan itu.

Menurutnya, perkara paling utama adalah kemampuan Harimau Malaya untuk bersedia sepenuhnya dan berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan.

"Kita tidak perlu rasa pasukan kita kurang baik dalam kumpulan tersebut kerana dalam beberapa perlawanan sebelum ini iaitu persahabatan dan Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia kita mendapat keputusan yang baik.

"Malah, prestasi yang ditunjukkan pasukan negara juga sudah mula mendapat perhatian kebanyakkan pasukan.

"Jadi, para pemain perlu yakin bahawa mereka mampu bersaing dan saya percaya kita akan dapat keputusan yang baik.

"Perlawanan pertama menentang Jordan amat penting dan jika dapat keputusan positif, 40 peratus peluang kita sudah ada untuk ke pusingan seterusnya," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan membuka tirai Piala Asia menentang pasukan di ranking ke-87 dunia, Jordan pada 15 Januari sebelum bertemu Bahrain (86) pada 20 Januari dan Korea Selatan (23) lima hari kemudian.

Harimau Malaya ketika ini berada pada momentum terbaik menuju ke Piala Asia selepas aksi cemerlang pada tahun lalu termasuk kejayaan mengikat pasukan di ranking lebih baik iaitu China (79) dan Syria (91) dalam aksi persahabatan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka juga tampil luar biasa untuk menundukkan India di ranking ke-102 dunia dalam aksi Pestabola Merdeka namun tidak bernasib baik apabila tewas kepada Tajikistan (106) pada aksi final.

Malaysia juga tampil cemerlang apabila menundukkan Kyrgyzstan (98) 4-3 dan menewaskan Taiwan 1-0 dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November.

Dalam pada itu, Wan Jamak menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar lebih awal skuad negara ke Doha, Qatar untuk melakukan persiapan adalah satu langkah yang baik.

"Sudah tentu skuad negara dapat menyesuaikan diri dengan baik keadaan di sana dan mungkin dapat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab di sana," katanya,

Harimau Malaya telah bertolak ke Qatar pada 1 Januari dan akan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari sebelum mengharungi aksi Piala Asia.