Usah terpancing psikologi 'Pak Arab'

Pan-gon (depan) dan para pemain skuad negara akan berdepan Jordan pada aksi pertama Piala Asia di Doha pada 15 Januari. Foto FB FAM
Pan-gon (depan) dan para pemain skuad negara akan berdepan Jordan pada aksi pertama Piala Asia di Doha pada 15 Januari. Foto FB FAM
A
A
A

PARA pemain negara perlu tenang dan sabar dengan pelbagai karenah skuad 'Pak Arab' ketika di dalam dan luar padang menjelang sepak mula Piala Asia Qatar 2023 di Doha pertengahan bulan ini.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, mereka gemar bermain dengan psikologi untuk menguji mental, emosi serta fizikal pasukan lawan.

Mohd Azraai Khor
Mohd Azraai Khor

Malah beliau turut mempunyai pengalaman ketika membimbing Kedah ke Piala AFC menentang kelab di Bahrain pada 2008.

"Macam-macam depa buat. Di dalam dan luar padang. Sehari sebelum perlawanan, mereka duduk tepi padang tengok kita buat latihan.

"Mujur ada pegawai AFC datang dan halau mereka dari tempat latihan. Sebagai tuan rumah mereka ambil kesempatan. Beri bekalan air minuman yang kurang.

"Dalam padang pun sama, lengah-lengahkan perlawanan dan membuat provokasi kepada pemain," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Malaysia akan menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali yang juga pasukan Piala Dunia, Korea Selatan pada 25 Januari.

Artikel Berkaitan:

Justeru Mohd Azraai berharap jurulatih Kim Pan-gon perlu berulang kali mengingatkan para pemain untuk menguatkan mental dan fizikal apabila berdepan dengan pasukan dari Timur Tengah itu.

Malah beliau juga percaya jurulatih dari Korea Selatan itu sudah masak dengan 'perangai' lawan dari negara berkenaan dan maklum dengan strategi serta taktikal yang perlu diterapkan buat skuad Harimau Malaya.

"Rakan sepasukan ketika di atas padang juga perlu sama-sama mengingatkan. Mental memang perlu betul-betul mantap, jangan koyak, begitu juga fizikal kena kuat.

"Kena tenang dan banyak sabar. Fokus kepada permainan, pedulikan provokasi dan psikologi pemain lawan. Demi negara dan lencana di dada buat yang terbaik rakyat Malaysia," katanya.

Mengulas peluang Malaysia ketika menentang Jordan dan Bahrain beliau melihat kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama dan usah mengalah atau gentar untuk menentang mereka.

"Saya pasti Pan-gon sudah ada taktikal yang mahu diterapkan. Ikut sahaja perancangan jurulatih dan terus berjuang sehingga wisel penamat," katanya.

Harimau Malaya sebelum ini kalah tipis 1-2 kepada Bahrain pada Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun 2022 manakala aksi terakhir skuad negara dengan Jordan ialah pada perlawanan persahabatan 2021 yang menyaksikan Malaysia tewas 0-4.