Azizulhasni imbau momen indah ungguli acara keirin piala dunia

Azizulhasni (tengah) berkongsi kenangan ketika menjuarai acara keirin dalam Siri Kejohanan Dunia di Cali, Colombia 13 tahun lalu. Foto Facebook Azizulhasni Awang.
Azizulhasni (tengah) berkongsi kenangan ketika menjuarai acara keirin dalam Siri Kejohanan Dunia di Cali, Colombia 13 tahun lalu. Foto Facebook Azizulhasni Awang.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengimbas momen indah ketika mengungguli acara keirin dalam Siri Kejohanan Dunia di Cali, Colombia 13 tahun lalu.

Beliau yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' mengimbau kenangan manis tersebut yang pada ketika itu berusia 22 tahun dan sudah setanding jagoan dunia.

Memori indah pelumba yang berasal dari Terengganu itu terungkap menerusi sekeping foto yang dikongsi di media sosial beliau pada Khamis.

“Terjumpa gambar lama pada tahun 2010 ketika memenangi acara Keirin di Siri Kejohanan Piala Dunia (World Cup Series) Cali, Colombia.

“Ketika itu saya hanya berusia 22 tahun dan sudah berada di puncak dunia bersama jagoan yang lain,” catat Azizulhasni menerusi Facebook pada Khamis.

Menerusi foto itu, beliau turut mendedahkan kerap ditanya wakil media mengenai kemuncak yang diraihnya terlalu awal dan mungkin juga akan 'pancit' awal.

“Ketika sekitar zaman ini, apabila berdepan dengan pihak media, saya sering dilontarkan dengan soalan. 'Azizul tak takut ke peak terlalu awal di dalam karier, nanti tak dapat bertahan lama?'.

“Jawab saya mudah, tidak, kerana saya adalah seorang yang dahagakan kejayaan dan saya mempunyai mentaliti yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukanlah ungkapan semata-mata akan tetapi sebuah bibit kata yang diadun dengan tindakan yang berterusan yang akhirnya menjadi sebuah kenyataan.

“Alhamdulillah, 2024 saya masih kekal berdiri di sini,” katanya.

Azizulhasni ketika ini dalam rangka persiapan untuk menghadiahkan kilauan emas negara pada temasya Olimpik Paris 2024.