Negeri Sembilan lulus SOP NR-REE

Aminuddin (kanan) pada sidang akhbar di Wisma Negeri, pada Rabu.
Aminuddin (kanan) pada sidang akhbar di Wisma Negeri, pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan semua pembangunan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini perlu melalui usaha sama dengan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi membolehkan aktiviti tersebut dipantau sekali gus mengelakkan berlaku penyelewengan.

"Kita telah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE untuk dilaksanakan di negeri ini yang mana ia perlulah melalui kerjasama anak syarikat kerajaan negeri iaitu MBI supaya kita dapat memantau perkembangan dan dapat memastikan hasil REE ini tak diseleweng.

"Sudah ada permohonan daripada pihak swasta namun syarikat itu mesti ada usaha sama dengan kerajaan negeri supaya kita tahu berapakah hasil yang keluar selain mahu memantau sama ada terdapat kesan kepada tanah yang berada berhampiran, MBI akan melantik pihak geologi bagi memastikan ia dapat dikawal," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini pada Rabu.

Menurutnya, aktiviti perlombongan tersebut perlu menggunakan kaedah yang diguna pakai syarikat dari negara Cina.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri bersikap terbuka untuk menggunakan kaedah dari negara lain sekiranya ada yang dirasakan lebih baik.

"Tapi mereka kena bentangkan dulu kaedah yang akan digunakan selain dari kaedah-kaedah yang digunakan oleh syarikat-syarikat dari negara China.

"Kalau ikut SOP kerajaan Pusat, memang hanya membenarkan SOP perlombongan dari negara China, tapi kita terbuka kepada negara lain, syaratnya kena bentangkan dulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, buat masa ini hanya di daerah Kuala Pilah dan Jelebu dikenal pasti mempunyai REE yang mana ia telah disahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

"Buat masa ini kawasan REE tidak melibatkan kawasan hutan simpan kerana kita nak lihat dahulu keberkesanan cara perlombongan yang dilakukan.

"Tapi saya difahamkan JMG dan Pusat sedang buat kajian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat yang dikesan membuat aktiviti perlombongan haram di Kuala Pilah, Mei lalu telah pun membayar kompaun RM500,000 hujung Disember lalu manakala kes di Jelebu masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil mencecah RM541.29 juta atau 120.29 peratus sehingga 31 Disember lalu melebihi sasaran sebanyak RM450 juta.

Katanya, hasil bukan cukai menyumbangkan kutipan tertinggi sebanyak RM325.01 juta atau 142.57 peratus.

"Ia diikuti dengan terimaan bukan hasil sebanyak RM63.94 juta atau 102.8 peratus manakala hasil cukai sebanyak RM152.33 juta atau 95.31 peratus," katanya.

Menurutnya, Belanjawan 2023 yang lalu menganggarkan defisit sebanyak RM108.96 juta, namun kerajaan negeri berjaya mengubah belanjawan defisit dari RM108.96 juta kepada surplus sebanyak RM4.79 juta.

"Ia berkat kesungguhan dan gerak kerja cemerlang semua pejabat pemungut hasil.

"Ini merupakan pencapaian tahun kedua berturut-turut berubah belanjawan defisit kepada surplus dan saya merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga telah berjaya melaksanakan sebahagian besar inisiatif Belanjawan 2023 yang terus memberikan impak positif kepada tahap kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

Tambah Aminuddin, bagi tahun ini, kerajaan negeri akan terus berusaha keras untuk mencapai sasaran hasil sebanyak RM520 juta.

"Ia serta melaksanakan pelbagai program dan projek di bawah sembilan Teras Aspirasi dan Skim Sejahtera Rakyat di bawah Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang telah dibentangkan semasa Belanjawan 2024," katanya.