Tahun 2024: ADUN PN harap Kerajaan Negeri Sembilan sedia beri peruntukan

Kerajaan Negeri Sembilan diharap dapat menyalurkan peruntukan kepada lima ADUN pembangkang di negeri ini. Foto hiasan
Kerajaan Negeri Sembilan diharap dapat menyalurkan peruntukan kepada lima ADUN pembangkang di negeri ini. Foto hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan diharap dapat membuka lembaran baharu pada tahun 2024 dengan bersedia menyalurkan peruntukan kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad berkata, buat masa ini tiada sebarang perkembangan mengenainya meskipun permintaan telah dibuat untuk bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 11 Oktober lalu.

Ridzuan
Ridzuan

"Tapi sampai hari ini tiada sebarang jawapan dan dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu pun saya ada tanya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri soal itu.

"Beliau beritahu jadual Menteri Besar terlampau padat menyebabkan tiada sebarang tarikh yang sesuai untuk diadakan pertemuan tersebut. Harapnya tahun 2024, kerajaan negeri dapat buka lembaran baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan negeri diharap dapat bersikap lebih matang dengan mengenepikan perbezaaan politik dan mencontohi kerajaan Pulau Pinang dan Perak yang tetap memberikan peruntukan pengurusan kepada ADUN dari PN.

Ridzuan turut mengakui ketiadaan peruntukan menyebabkan perjalanan mereka sebagai ADUN dalam tempoh beberapa bulan ini agak sukar.

"Betullah, untuk berkhidmat kepada rakyat ini wang bukanlah segala-galanya, tapi kalau tiada wang pun susah juga.

Artikel Berkaitan:

"Kami tiada peruntukan untuk pembangunan kawasan dan juga pengurusan kerana ada pekerja yang perlu dibayar gaji," katanya.

Tambahnya, budaya kerajaan negeri tidak memberi peruntukan kepada ADUN pembangkang perlu diubah kerana itu hak mereka yang telah diberi mandat oleh rakyat.

Selepas pilihan raya negeri pada bulan Ogos lalu, gabungan kerjasama parti PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 31 daripada 36 buah kerusi DUN sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Baki lima kerusi DUN lagi iaitu Labu, Gemas, Serting, Bagan Pinang dan Paroi dimenangi oleh PN.