CAP gesa haiwan dimasukkan dalam rancangan kecemasan bencana alam

KPKM dan DVS perlu mempertimbangkan secara serius untuk melaksanakan dasar serta strategi bagi mengurangkan risiko dan meminimumkan kesan bencana terhadap haiwan. Gambar kecil: Mohideen
KPKM dan DVS perlu mempertimbangkan secara serius untuk melaksanakan dasar serta strategi bagi mengurangkan risiko dan meminimumkan kesan bencana terhadap haiwan. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar haiwan domestik dan ternakan dimasukkan ke dalam rancangan kecemasan bencana alam di negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ternakan antara mangsa yang paling terkesan dalam bencana terutamanya ketika banjir.

Menurutnya, banjir merupakan bencana berkaitan cuaca paling kerap berlaku di negara ini yang menyebabkan kemusnahan teruk dan mengakibatkan kehilangan nyawa, ternakan, tanaman pertanian serta kerosakan harta benda.

"Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, ia diburukkan lagi dengan kesan perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia. Keadaan banjir yang berulang di Malaysia menjadi semakin bertambah buruk.

"Sekiranya berlaku banjir, tiada langkah berjaga-jaga bagi keselamatan yang disediakan untuk melindungi atau memudahkan pemindahan haiwan ternakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohideen berkata, Jabatan Perangkaan melaporkan RM36.9 juta kerugian kepada sektor ternakan pada 2022 akibat bencana alam.

"Penternak yang bergantung sara hidup mereka kepada penternakan akan terjejas teruk apabila ditimpa bencana kerana haiwan itu paling kurang diutamakan dalam pengurusan bencana. Ia menyebabkan kerugian terhadap ekonomi serta ternakan.

"Langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan kerugian dalam ternakan dan kesiapsiagaan kecemasan adalah penting bagi kebajikan haiwan dan kesinambungan perniagaan. Perancangan lebih awal membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik untuk membantu serta melindungi haiwan ini sebelum dan semasa bencana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, memandangkan berlaku kerugian melibatkan ternakan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesihatan haiwan ternakan di seluruh negara.

"Kementerian berkenaan harus memainkan peranan proaktif dalam pengurusan risiko haiwan semasa bencana. Haiwan yang terperangkap dalam banjir sering mengalami penderitaan, tekanan, kejutan, kerosakan anggota badan, kehilangan darah, dehidrasi dan akhirnya mati.

"Pendekatan yang berkesan memerlukan lebih daripada menyelamatkan haiwan ketika dalam kecemasan. Jika bantuan kecemasan tidak diberikan, haiwan ini mungkin mati akibat kekurangan makanan dan air, kekurangan zat makanan dan penyakit berkaitan banjir," katanya.

Jelasnya lagi, kementerian dan pihak berkuasa veterinar yang mempunyai pengetahuan, peralatan dan kemudahan perlu segera mewujudkan pusat rawatan dan penyelamatan haiwan di kawasan yang terjejas.

"Bekerjasama dengan bantuan komuniti, pertubuhan sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan boleh diselaraskan dengan bantuan daripada agensi kerajaan.

"Masalah lain ialah keperluan untuk mengeluarkan haiwan yang cedera bagi rawatan kerana haiwan yang mati di kawasan banjir boleh mendedahkan ancaman kepada kesihatan awam jika ia tidak dibuang segera," katanya.

Beliau berkata, KPKM dan DVS perlu mempertimbangkan secara serius untuk melaksanakan dasar serta strategi bagi mengurangkan risiko dan meminimumkan kesan bencana terhadap haiwan.

"Pengurangan risiko bencana adalah tindakan untuk masa hadapan dan DVS mesti bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan haiwan antarabangsa untuk memastikan keselamatan haiwan peliharaan dan ternakan," katanya.

Tambah beliau, Malaysia perlu mempunyai strategi dan dasar untuk meningkatkan pengetahuannya dalam responsif ternakan.