Kurang bergantung royalti minyak, Terengganu atur strategi

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan melaksanakan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan menggariskan tujuh strategi bagi mengoptimumkan hasil pendapatan negeri.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perancangan itu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum dan gas serta persediaan bagi menghadapi krisis kekurangan simpanan minyak.

Menurutnya, pelan itu juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutama dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE).

"Dalam penggal yang lalu, Terengganu telah berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti (minyak) dan kita optimis ia akan dapat dikurangkan lagi dengan pelan yang dirancangkan.

“Hasrat saya pada tahun 2024 adalah kita sama-sama dapat mendepani cabaran ekonomi pada lima tahun ke depan,” katanya memetik laporan portal rasmi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan kerajaan negeri juga berazam untuk mengubah persepsi serta budaya ‘cukup sekadar ini sahaja’ dalam kalangan rakyat Terengganu.

Katanya, pada penggal lepas kerajaan negeri berusaha untuk mengubah perubahan minda rakyat Terengganu dengan politik matang dan sejahtera.

“Jadi pada masa akan datang, saya akan memastikan rakyat dapat melakukan perubahan minda untuk mengubah persepsi serta budaya 'cukup sekadar ini sahaja' dengan merebut peluang dalam kitaran ekonomi yang bakal dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu bersedia dan berfikiran terbuka untuk melakukan anjakan padigma selaras dengan perubahan persekitaran yang berlaku,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, bagi memastikan perancangan serta agenda tersebut berhasil maka semua pihak termasuk pimpinan di pelbagai peringkat perlu memainkan peranan masing-masing.

“Setiap dari kita perlu bekerja secara bijaksana, menggunakan rangkaian serta bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jentera di lapangan,” ulasnya.