Insa tak peduli kritikan

Natxo Insa
Natxo Insa
A
A
A

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Natxo Insa tidak kisah dengan kritikan yang mempertikaikan kehadirannya dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi Piala Asia di Doha, Qatar.

Menurut tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, dia tidak mahu ambil peduli dengan kritikan yang dilemparkan selain tidak membaca sebarang komen mengenai perkara tersebut di media sosial.

"Secara jujurnya saya tidak membaca apa-apa mengenai perkara tersebut di media sosial. Kepada yang menyokong saya, terima kasih.

"Kepada yang tidak menyokong, ia tidak memberikan kesan kepada saya," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Sebelum ini, terdapat segelintir peminat yang mempertikaikan pemilihan Insa dalam skuad Harimau Malaya kerana pemain berusia 37 tahun itu kekurangan minit permainan selain tidak banyak beraksi untuk JDT.

Insa turut mengakui tidak sukar untuknya menyesuikan diri dalam skuad kebangsaan biarpun hanya beraksi sekali bersama skuad kebangsaan pada 2018.

"Tidak sukar untuk saya menyesuaikan diri dalam pasukan kerana ramai pemain JDT dalam pasukan kebangsaan," katanya.

Dalam pada itu, Insa turut optimis kemampuan Harimau Malaya untuk menyinar di Qatar walaupun sedar cabaran yang perlu dihadapi berdepan lawan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Kami mempunyai pasukan yang baik selain pemain muda yang kerap beraksi. Saya rasa dengan pemain yang ada, kita boleh bersaing dengan pasukan yang beraksi di EPL (Liga Perdana Inggeris),"katanya.

Skuad Harimau Malaya telah berlepas ke Doha pada Isnin dan akan memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain (20 Jan) dan membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada 25 Januari.