Najib disyaki terima AS$681 juta untuk beli undi PRU13 - SPRM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak disyaki menerima AS$681 juta untuk membeli undi untuk Pilihan Raya Umum (PRU13), pada 11 tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga pegawai penyiasat skandal 1MDB ini berkata, maklumat diterima pada 4 Mei 2015, menyatakan pada tahun 2013, Najib telah menerima wang tersebut daripada syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kerajaan Saudi iaitu Tanore Finance Corporation, melalui Falcon Private Bank Singapore.

Sebelum ini, Tanore Finance dikatakan syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Nur Aida, 37, berkata, wang tersebut dimasukkan ke akaun Amprivate Banking milik Najib yang berakhir nombor 694.

Selain itu, wanita itu berkata, pada 17 Mei 2018 pula, aduan diterima menyatakan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan, menerima suapan.

“Rasuah itu diperoleh melalui dana pelaburan 1MDB berjumlah RM3.217 billion, dipercayai untuk kepentingan peribadi Najib, di akaun bank sama, antara tahun 2011 hingga 2013.

“Fokus siasatan ialah di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu berkenaan dengan kemasukan wang dalam jumlah yang sangat besar ke dua akaun peribadinya, berakhir nombor 694 dan 880 antara tahun 2011 dan tahun 2014,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Najib dikatakan telah menggunakan kedudukannya bagi mendapat suapan yang mana ketika itu bertindak sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu, Tanore Finance memindahkan AS$681 juta ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib.

Dana itu sebahagian daripada terbitan bon 1MDB keseluruhannya berjumlah AS$3 bilion yang sepatutnya dilaburkan bagi usaha sama 1MDB dengan Aabar Investment PJS yang dikenali sebagai Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Menurut Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan, pada hari sama Tanore Finance menerima AS$640 juta iaitu pada 21 Mac 2013, ia mengarahkan Falcon Bank memindahkan AS$681 juta ke nombor akaun bawah nama 'AmPrivate Banking–MR' di AmIslamic Bank secepat mungkin.

Najib, 71, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung dengan Nur Aida membaca pernyataan saksi setebal 95 muka surat.

Pada 5 Mei 2013 lalu, Barisan Nasional (BN) diumumkan menang di 133 kerusi Parlimen sekali gus dapat membentuk kerajaan dengan majoriti tipis.

Sementara Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat 89 kerusi parlimen.

UMNO selaku tunjang utama BN mendapat 88 kerusi.