Penggunaan RM700 juta untuk promosi kerajaan, SPRM mulakan siasatan

SPRM
SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan awal berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Sumber yang boleh dipercayai memaklumkan, perbelanjaan itu digunakan untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, SPRM difahamkan telah ke Kementerian Kewangan (MOF) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat, selain mendapatkan dokumen berkaitan pada Selasa.

"Siasatan tersebut dibuat berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

"P Prabakaran meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan.

"Pemakluman itu dibuat menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini," katanya pada Selasa.

Menurutnya, susulan kenyataan Anwar tersebut, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut membuat catatan di media sosial X baru-baru ini bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta telah dibelanjakan.

Ekoran itu jelasnya, SPRM telah mengambil tindakan menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah proses tersebut mengikut tatacara yang betul," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran siasatan.