Bayi tahun baru beri kegembiraan berganda

Zanariah (tengah) menyantuni salah seorang bayi yang dilahirkan pada hari pertama tahun baru hari ini.
Zanariah (tengah) menyantuni salah seorang bayi yang dilahirkan pada hari pertama tahun baru hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Bukan hanya gembira menanti detik tahun baru, malah kali ini ia lebih bermakna buat pasangan muda Ahmad Syafiq Mohd Shakri dan Wan Nur Syazwani Wan Zin apabila dikurniakan cahaya mata pertama jam 1 petang tadi.

Walaupun terpaksa melahirkan bayi perempuan tersebut melalui pembedahan, namun Ahmad Syafiq bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat serta sihat sepertimana bayi lain.

"Pada mulanya tarikh jangkaan doktor adalah pada 31 Disember, saya pun jangka mungkin awal. Memandangkan kami bekerja di Kuala Lumpur, jadi saya suruh isteri pulang pertengahan Disember lalu, namun lain pula jadinya apabila bayi kami menjadi bayi tahun baru hari ini.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak Hospital KPJ Pakar Perdana kerana banyak membantu isteri saya sepanjang proses kelahiran.

"Insya-ALLAH saya akan namakan bayi pertama kami itu dengan nama Nur Ayra Sumayyah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital KPJ Perdana, Dr Zanariah Jaafar ketika ditemui memberitahu, sehingga jam 4 petang, pihaknya menyambut dua kelahiran tahun baru kali ini iaitu pada jam 1.08 petang melalui pembedahan dan jam 2.20 petang secara normal.

"Kami di KPJ Pakar Perdana memang teruja menyambut kelahiran bayi melibatkan tarikh-tarikh yang akan diingati terutamanya bayi tahun baru, merdeka dan sebagainya.

"Berdasarkan pengalaman saya, peluang seperti ini jarang sekali diperoleh dan bayi-bayi tersebut adalah dalam kalangan yang bertuah kerana dilahirkan pada hari pertama tahun baru dan akan diingati setiap tahun," katanya yang telah menyambut lebih 5,000 kelahiran sejak berkhidmat di hospital tersebut.

Artikel Berkaitan: