Larangan merokok: Pelancong asing antara yang ditahan

Petugas Jabatan Kesihatan Johor membuat lawatan di salah sebuah premis makanan di bandar raya ini.
Petugas Jabatan Kesihatan Johor membuat lawatan di salah sebuah premis makanan di bandar raya ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor mengeluarkan sebanyak lima saman terhadap individu yang masih gagal mematuhi larangan merokok di premis makanan yang berkuat kuasa hari ini.

Difahamkan, daripada kesemua mereka yang menerima notis saman larangan merokok itu, dua daripadanya pelancong asing dari Mesir dan Singapura.

Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Johor, Kayrul Hidayah Mansor, seramai 150 anggota Jabatan Kesihatan Johor telah ditugaskan memantau dan mengeluarkan notis saman kepada perokok yang masih berdegil.

Menurutnya, tindakan tegas itu juga diambil selepas penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan hari ini, selepas tempoh pendidikan selama enam bulan berakhir.

“Operasi membabitkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti, kita juga telah diarahkan untuk membuat pemantauan secara terus untuk memastikan pelaksanaan larangan ini berjaya.

“Selain pelancong ini, kita juga turut memberikan notis saman kepada dua individu yang didapati ingkar serta menggunakan rokok elektronik (vape) di dalam premis makanan,” katanya ketika ditemui semasa mengikuti operasi berkenaan di sini hari ini.

Katanya, dalam operasi berkenaan, pegawai kesihatan dan persekitaran yang terlibat turut membawa poster serta papan tanda mini larangan merokok sebagai peringatan pada orang awam.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan larangan merokok akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Menerusi langkah penguatkuasaan itu, individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.