TFC gugur 12 pemain musim depan

TFC mengumumkan senarai 12 pemain yang tidak akan bersama pasukan itu lagi pada musim depan. Foto Facebook Terengganu FC
TFC mengumumkan senarai 12 pemain yang tidak akan bersama pasukan itu lagi pada musim depan. Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

KELAB Bola Sepak Terengganu FC (TFC) mengumumkan senarai 12 pemain yang tidak akan bersama pasukan itu lagi pada musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, enam tonggak import yang digugurkan termasuk Sony Norde, Sardor Kulmatov, Omid Nazari, Adisak Kraisorn, Jordan Mintah dan kapten pasukan untuk musim 2023, Habib Haroon.

Beliau berkata, lima pemain tempatan yang akan dilepaskan pula ialah Adib Zainuddin, Azarul Nazarith Azhar, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, Rahmat Makasuf dan Shafawi Mohamad.

"Seorang lagi pemain yang dilepaskan ialah Liridon Krasniqi yang merupakan pemain naturalisasi yang dipinjamkan ke Terengganu oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini.

"TFC mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan serta selamat maju jaya kepada semua pemain yang telah mencurah bakti kepada kelab sepanjang musim ini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi TFC pada Ahad.

Skuad Penyu dalam kenyataan sebelum ini mengumumkan akan menggunakan khidmat lima atau enam pemain import sahaja pada musim depan berbanding sembilan orang tahun ini, susulan langkah penjimatan perbelanjaan.

Bagaimanapun, khidmat ketua jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dan penyerang import, Ivan Mamut akan dikekalkan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

TFC yang berpangkalan di Kuala Nerus menamatkan musim 2023 dengan mara ke pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, impian mereka untuk menjulang piala paling berprestij itu tidak kesampaian apabila tumpas 1-3 di tangan JDT pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) 8 Disember lepas. - Bernama