Rakyat harap ekonomi, perpaduan kekal mampan

Tahun 2024 membawa harapan baharu ke arah kemajuan masa depan bagi Malaysia setelah mengharungi pelbagai cabaran pada 2023. Gambar kecil: (Dari kiri) Syahwalludeen, Sook Wan, Sathiamoorthy, Juliahazwani
Tahun 2024 membawa harapan baharu ke arah kemajuan masa depan bagi Malaysia setelah mengharungi pelbagai cabaran pada 2023. Gambar kecil: (Dari kiri) Syahwalludeen, Sook Wan, Sathiamoorthy, Juliahazwani
A
A
A

SHAH ALAM – Kestabilan politik, perpaduan antara kaum serta ekonomi negara kekal mampan terus menjadi harapan rakyat untuk tahun 2024.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai berharap negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengembalikan keyakinan pelabur untuk menjadi negara nombor satu di Asia dari segi ekonomi.

Pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Syahwalludeen Mustapha, 31, berharap ekonomi negara akan bertambah baik bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Ini penting kerana masa depan negara bergantung kepada golongan muda yang berperanan memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, jika tenaga kerja di sektor perindustrian dan swasta diisi oleh ramai golongan muda, sudah pasti produktiviti serta hasil pengeluaran negara meningkat dengan pantas.

Ketua Kampung Seri Sungai Buloh, Hoo Sook Wan, 46, pula berharap agar kebajikan dan kemudahan infrastruktur kampung-kampung yang berada di luar bandar diberi perhatian.

“Penduduk kampung juga berhak menikmati kemudahan serta bantuan bagi memastikan nasib majoriti penduduk terdiri daripada warga emas ini terus kekal terbela.

“Kerajaan juga perlu berusaha menunaikan janji yang belum tertunai pada pilihan raya umum lalu bagi memastikan mandat dan kepercayaan yang diberi oleh rakyat tidak disia-siakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pemandu lori, V Sathiamoorthy, 51, berpendapat, masih terdapat golongan muda dalam kalangan masyarakat India yang ketinggalan dari segi pendidikan hingga menyebabkan mereka gagal mendapat pekerjaan di sektor awam.

“Ini sesuatu yang perlu dilakukan bagi membolehkan golongan terbabit diberi peluang untuk berbakti kepada keluarga demi masa depan cerah,” katanya.

Pegawai khidmat pelanggan, Juliahazwani Hanusi, 24, pula berharap, tiada lagi campur tangan pihak tidak sepatutnya dalam hal ehwal agama Islam di negara ini.

“Agama Islam seharusnya diuruskan oleh orang Islam. Jika tidak pelbagai polemik dan pertikaian akan tercetus sekiranya ada yang cuba mengganggunya secara tidak sah.

“Budaya saling hormat menghormati antara kaum dan agama perlu terus disemai agar setiap perbezaan pendapat dapat diselesaikan secara baik tanpa sebarang provokasi,” katanya.