Bella hilang: Polis akan panggil semula teman lelaki jika perlu

Mila Sharmila atau Bella (belakang) yang dilaporkan hilang sejak 16 hari lalu bersama kakaknya, Norisham.
Mila Sharmila atau Bella (belakang) yang dilaporkan hilang sejak 16 hari lalu bersama kakaknya, Norisham.
A
A
A

BATU PAHAT - Teman lelaki kepada Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella akan dipanggil semula jika ada keperluan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kehilangan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kes kehilangan ibu tunggal itu masih dalam siasatan pihak polis.

"Siasatan masih diteruskan, kita melihat semua sudut dalam usaha mendapat dan memproses maklumat baharu serta maklumat sedia ada.

"Lelaki yang ditangkap itu akan dipanggil pada bila-bila masa jika ada keperluan untuk membantu siasatan lanjut," katanya pada Ahad.

Menurut Ismail, banyak kaedah yang akan digunakan untuk merungkai misteri kehilangan wanita itu dan diharapkan usaha tersebut membuahkan hasil.

Sebelum itu, teman lelaki kepada Bella yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wanita itu, dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Jumaat.

Lelaki berusia 24 tahun itu yang bekerja di sebuah syarikat kurier direman sejak 25 Disember lalu.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan berkata, lima individu sudah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes siasatan kehilangan Bella.

Artikel Berkaitan:

Dua laporan polis mengenai kehilangan wanita itu dibuat ahli keluarganya masing-masing pada 16 dan 18 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Bella dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Soga, Batu Pahat bersama teman lelakinya untuk ke kedai dobi pada jam 11.50 malam, 14 Disember lalu.