Harga hotel, makanan lebih murah jadi tarikan bercuti di Thailand

Laporan muka depan Sinar Ahad.
Laporan muka depan Sinar Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kos penginapan dan makanan yang murah sehingga dua kali ganda menjadi antara faktor utama rakyat Malaysia memilih untuk bercuti ke Thailand berbanding di dalam negara.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata rakyat negara ini yang telah pergi bercuti di Thailand berpuas hati dengan kadar perbelanjaan di sana meskipun nilai mata wang mereka lebih tinggi.

Akauntan, Noor Faizatul Fariza Mohd Isa, 41 berkata, sepanjang pengalamannya berkunjung ke Thailand, kebanyakan hotel bertaraf mewah menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding penginapan di negara sendiri.

Ujar beliau, aspek itu menjadi antara faktor utama mengapa negara berkenaan menjadi pilihan ramai ketika melancong pada musim cuti.

“Penginapan sangat murah sebab hotel bajet untuk saya dan keluarga seramai lima orang baru RM200, kalau di Malaysia tak dapat bilik dua katil ‘queen’ dengan harga itu.

“Hotel bilik berkembar di sana bagi empat hingga lima orang sekitar RM400 hingga RM500 tetapi mungkin dekat Malaysia RM800 ke atas, memang jauh beza.

“Saya baru sahaja ke sana (Thailand) minggu lalu dan ini merupakan kali kelima ke sana. Saya lebih memilih untuk ke sana disebabkan harga hotelnya,” katanya pada Jumaat.

Sementara itu, penjawat awam, Norazran Yussof, 35 berkata, pakej percutian yang disediakan turut menawarkan harga yang berpatutan dan lebih memudahkan pelancong untuk bergerak ke lokasi tumpuan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, kos di sana lebih murah, kalau malas memandu kita boleh upah pemandu van dekat sempadan untuk masuk Thailand atau pun langgan sahaja pakej yang ada. Pakej di sana agak murah berbanding Malaysia.

“Berbaloi sangat sebab kepelbagaian makanan yang mana harganya lebih murah. Begitu juga dengan hotel di sana, harga lebih rendah tetapi dapat bilik cantik. Banyak juga tempat lebih menarik yang tiada di Malaysia tetapi ada di Thailand,” katanya.

Dalam pada itu, kerani am, Nur Shafikah Abdullah, 27 berkata, bagi dirinya perkara yang paling menarik di sana adalah makanan laut yang segar dan sangat murah.

Menurutnya, di Thailand dengan nilai harga RM10 sahaja sudah mampu untuk mendapat empat hingga lima ekor udang galah bersaiz besar.

“Makanan kat sana memang murah, udang galah juga saiz besar. RM10 boleh dapat sepinggan dalam empat hingga lima ekor dengan harga tersebut. Makanan laut pun pun segar dan tomyam lebih sedap.

“Makanan di gerai dan kedai serbaneka kat sana pun harganya jauh lebih murah berbanding di Malaysia,” ujar Shafikah.