Kastam Johor rampas rokok bernilai RM8 juta

Mohammad Hamidan (tengah) menunjukkan sebahagian rokok tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Mohammad Hamidan (tengah) menunjukkan sebahagian rokok tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor mematahkan cubaan menyeludup rokok tidak bercukai bernilai lebih RM8 juta dalam satu serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, 24 Disember lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, kegiatan menyeludup masuk barangan berkenaan mula disedari pihaknya selepas ia dimuat ke dalam salah satu kontena yang mencurigakan.

“Pasukan Penguatkuasaan Gelang Patah telah menerima maklumat daripada Pasukan Risikan Zon Selatan dan Cawangan Pelabuhan Tanjung Pelepas berkenaan satu kontena yang membawa barang dagangan tidak seperti diikrar.

“Pasukan Penguatkuasaan Gelang Patah kemudiannya telah membuat pemeriksaan kontena tersebut yang mana ia dijalankan di Bay Pemeriksaan Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Hasilnya, kami telah menemui sebanyak 10.5 juta batang rokok jenama Zon King. Semua barang larangan ini dianggarkan bernilai RM1.47 juta dengan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM7.07 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Kastam Johor Cawangan Gelang Patah di sini hari ini.

Mohammad Hamidan bagaimanapun memberitahu, tiada sebarang tangkapan dibuat dalam serbuan terbabit dan pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik kontena berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan satu sindiket yang tahu mengenai selok-belok kaedah penguatkuasaan di kawasan pelabuhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita percaya sindiket ini juga nekad melakukan penyeludupan kerana tahu dan mahu mengambil kesempatan atas masalah mesin pengimbas yang dimaklumkan rosak sejak awal bulan lepas,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.