Banjir: Jumlah mangsa terus menurun, Terengganu pulih sepenuhnya

Pembantu kedai Mohamad Syafiq Mat Saleh bersama Muhd Syawal Aqib Aminuddin (kanan) membersihkan kedai yang dinaiki air selepas banjir melanda kawasan Kampung Ana ketika tinjauan pada Ahad. Foto Bernama
Pembantu kedai Mohamad Syafiq Mat Saleh bersama Muhd Syawal Aqib Aminuddin (kanan) membersihkan kedai yang dinaiki air selepas banjir melanda kawasan Kampung Ana ketika tinjauan pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun lagi kepada 3,681 orang di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang ini sementara Terengganu pula telah pulih sepenuhnya daripada bencana itu.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 3,593 orang di 16 PPS berbanding 6,684 orang di 24 PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan itu, PPS di Kelantan merangkumi lima di Pasir Mas yang menempatkan 2,093 orang, sembilan di Tumpat (1,469 orang) dan dua di Kuala Krai (31 orang).

Di Pahang, bilangan mangsa banjir kekal 34 orang dan berlindung di dua PPS di Daerah Maran, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal berada di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Jumlah mangsa banjir di Johor juga tidak berubah dengan 54 orang masih ditempatkan di dua PPS di Daerah Segamat petang ini.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Pulai, Johor Bahru di Johor; Sungai Golok, Pasir Mas (Kelantan) dan Sungai Arau, Arau (Perlis).

Laporan itu juga menyatakan terdapat 34 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh.

Antara yang terlibat ialah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor; Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang (Kelantan); Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: