Himpunan mega untuk Palestin 24 Februari depan

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan berskala mega akan diadakan di Kuala Lumpur sebagai sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan desakan agar perang di Gaza dihentikan serta-merta.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin itu dijadualkan berlangsung pada 24 Februari depan.

Beliau yang juga koordinator perhimpunan berkata, tujuan diadakan adalah untuk menyatakan pendirian rakyat Malaysia terhadap jenayah kemanusiaan dan perang dilakukan Israel ke atas Palestin.

"Perhimpunan anjuran gabungan badan sivil Malaysia yang merentas bangsa dan agama ini adalah refleksi dari sentimen rakyat seluruh dunia yang bangkit menentang terrorism Israel.

"Perhimpunan ini akan menghantar mesej kuat rakyat Malaysia kepada PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk segera bertindak menyekat Israel dari terus melakukan serangan ganas ke atas Gaza.

"Kami akan memohon kerjasama dari pihak berkuasa agar membantu kami melaksanakan perhimpunan ini dengan aman dan lancar," katanya

Beliau ditemui pada sidang media sempena Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin anjuran Majlis Rakyat Semalaysia di pejabat Mapim di U8 Bukit Jelutong, di sini pada Sabtu.

Hadir sama dua pemimpin dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Ahmad Awang dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi berkata, perhimpunan akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia di kalangan ahli badan bukan kerajaan (NGO), komuniti, mahasiswa, kesatuan sekerja, agamawan dan professional, aktivis politik serta usahawan.

Ujarnya, penganjur menyasarkan 1,000 NGO akan mendaftar dalam gabungan Perhimpunan Sejuta Rakyat ini termasuk sasaran sejumlah 1,000 kariah akan digemblengkan untuk menyertai perhimpunan ini.

"Slogan adalah 'Kami Semua Palestin' atau 'We are all Palestinians' akan menjadi seruan kepada seluruh rakyat untuk bersama dalam perhimpunan ini.

"Slogan ini adalah tanda solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin, bahawa pembantaian Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza adalah juga pembantaian ke atas kemanusiaan semuanya di seluruh dunia," tambahnya.