Lelaki bawa parang, pisau ditahan di Bangunan Capitol, AS

Seorang lelaki ditahan pada petang Selasa kerana membawa sebilah parang dan sebilah pisau di Laman Timur bangunan Capitol AS. Foto 123RF
Seorang lelaki ditahan pada petang Selasa kerana membawa sebilah parang dan sebilah pisau di Laman Timur bangunan Capitol AS. Foto 123RF
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki ditahan pada petang Selasa kerana membawa sebilah parang dan sebilah pisau di Laman Timur bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan lelaki berusia 23 tahun itu menyasarkan ahli Kongres dalam kejadian itu.

Dalam kenyataan media Polis Capitol berkata, seorang daripada anggotanya menyedari Jose Leonardo Marquez yang tidak mempunyai alamat tetap, mundar-mandir di kawasan bangunan sebelum duduk pada belebas kira-kira 4.15 petang (2115 GMT).

Menurut Polis Capitol, anggota polis itu menegur Marquez dan melihat batu bata di dalam poketnya, yang kemudian dibuang ke tepi atas permintaan anggota polis berkenaan.

Polis Capitol berkata, lelaki berkenaan juga mengeluarkan pisau dan meletakkannya pada belebas sebelum anggota itu meminta bantuan dan senjata itu berjaya dirampas.

Menurut agensi itu, anggota berkenaan kemudian melihat hulu parang di sebalik pakaian Marquez sebelum mengeluarkan senjata miliknya serta mengarahkan lelaki berkenaan mengangkat tangannya.

Marquez akur dengan arahan itu dan anggota polis itu menggunakan peluang untuk mengambil parang daripada lelaki berkenaan yang kemudian memberkasnya.

Sementara itu Polis Capitol berkata, Marquez didakwa kerana membawa senjata berbahaya dan memiliki senjata terlarang.

Artikel Berkaitan:

Agensi itu berkata, kes masih disiasat tetapi motif Marquez berada di Washington pada ketika ini masih tidak diketahui. - Bernama