Sejarah hitam kes doping Malaysia

Nishel Kumar. Laporan Sukan Sinar 27 Disember.
Nishel Kumar. Laporan Sukan Sinar 27 Disember.
A
A
A

ARENA sukan negara pernah digemparkan dengan kes doping melibatkan bekas pemain badminton pada tahun 2014.

Ia dianggap kes doping berprofil tinggi yang berlaku dalam sejarah sukan tanah air memandangkan reputasi hebat beliau ketika itu.

Malah, tahun 2014 turut dipalit satu lagi kes berprofil tinggi melibatkan pemenang pingat emas acara wushu pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Dua kes yang berlaku itu dianggap detik suram buat arena sukan negara, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Malah, ADAMAS yang pada awal penubuhannya berada di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) turut dipersalahkan atas apa yang telah berlaku.

Mengimbas kembali sejarah hitam hampir 10 tahun lalu itu, bekas Penolong Pengarah Kanan ADAMAS, Nishel Kumar menganggap ‘apa yang berlaku ada hikmahnya’.

“Memang benar apa yang berlaku pada 2014 adalah antara insiden paling buruk bagi kes doping di Malaysia, ketika itu terdapat 14 kes.

“Daripada jumlah keseluruhan 14 kes itu, lapan daripadanya sukan bina badan. tetapi kes kedua-dua atlet berkenaan lebih mendapat tumpuan.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu ia disebabkan reputasi beliau selaku jaguh badminton dunia, manakala kes atlet wushu itu lebih kepada penarikan pingat emasnya.

“Dua kes itu boleh saya katakan antara kes berprofil tinggi yang mendapat tumpuan, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sepanjang lebih 15 tahun berkhidmat di ADAMAS, Nishel menyifatkan kes doping atau pengambilan bahan terlarang dalam kalangan atlet negara tidak berada pada tahap membimbangkan.

“Secara keseluruhannya saya lihat kes doping di Malaysia tidak begitu membimbangkan. Cuma ia agak membimbangkan dalam sukan angkat berat dan bina badan.

“Apa pun, kita tidak boleh mengambil mudah terhadap isu doping melibatkan atlet negara. Saya percaya ADAMAS selaku badan bertanggungjawab sudah tahu fungsi dan tugas mereka.

“Dengan apa yang telah berlaku melibatkan beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini, ia secara tidak langsung akan membuka mata ramai pihak berkaitan kes doping,” jelasnya.

Beliau berkata, pelanggaran peraturan anti-doping (Artikel 2.1- Kehadiran Bahan Terlarang atau Metabolit atau Penandanya dalam Sampel Atlet) boleh berlaku secara sengaja atau tidak sengaja (advertant and inadvertant) atau cuai atau sebaliknya.

“Atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya (strict liability) untuk sebarang bahan terlarang yang digunakan, cuba untuk menggunakan atau terdapat dalam badan mereka, tidak kira bagaimana ia ada atau tidak sama ada mempunyai niat untuk menipu atau tidak.

“Apa yang penting, atlet seharusnya tahu kesannya yang akan menjejaskan karier dan masa depan mereka. Terlalu banyak pelanggaran peraturan anti-doping berpunca daripada penggunaan bahan terlarang dalam makanan tambahan yang tercemar, label yang mengelirukan serta tidak dinyatakan potensi bahaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nishel menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa ADAMAS mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ ketika menjalankan ujian doping secara rambang ke atas atlet elit yang terpilih.

Sebaliknya, Nishel berkata, ADAMAS akan menjalankan ujian doping ke atas atlet berprofil tinggi yang dikatakan mempunyai potensi mengambil bahan terlarang sebagai jalan pintas untuk meraih kejayaan.

“Saya tidak bersetuju apabila ada sesetengah pihak yang mengatakan ADAMAS hanya memilih atlet-atlet tertentu bagi menjalani ujian doping, itu tidak betul.

“ADAMAS tidak memilih sesuatu jenis sukan atau mana-mana atlet. ADAMAS sentiasa mengambil perhatian serius terhadap kesemua jenis sukan di negara ini,” tegas beliau.

Untuk rekod, di bawah Kod Anti-Doping Dunia, Anti-Doping Organization (ADO) merangkumi International Federations (IFs), Major Event Organizations (MEOs) dan National Anti-Doping Organizations (NADOs) dikehendaki merancang dan melaksanakan strategi pengujian kawalan doping yang mantap (robust testing) ke atas atlet di bawah bidang kuasanya.

Pelan berkenaan harus berkadar dengan risiko doping, berkesan dalam mengesan dan menghalang amalan tersebut.

Artikel 4 International Standard of Testing and Investigations (ISTI) pula menggariskan langkah-langkah yang perlu untuk membangunkan Penilaian Risiko (Risk Assessment) dan membangunkan Pelan Pengagihan Ujian (Test Distribution Plan).

Nishel berkata, kelazimannya ADAMAS lebih memberikan penekanan terhadap empat sukan iaitu angkat berat, bina badan, olahraga dan berbasikal.

“Ini disebabkan atlet-atlet daripada kesemua empat sukan itu berisiko tinggi terdedah kepada potensi penggunaan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi masing-masing,” jelasnya.

Pada masa sama, Nishel mendedahkan majoriti atlet di negara ini tidak meneliti dan menyemak kandungan suplemen atau ubat-ubatan yang diambil.

“Sewajarnya mereka lebih cakna kepada Prohibited List yang diterbitkan oleh pihak Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) sebelum mengambil sebarang ubat atau produk makanan tambahan.

“Atlet bertanggungjawab mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi yang bertauliah terutamanya merujuk kepada pihak ISN,” katanya yang kini menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).