Lelaki maut, kereta dipandu terbabas dalam parit

Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Masai Utama 1, Taman Masai di Johor Bahru pada Rabu. - Foto BBP Pasir Gudang
Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Masai Utama 1, Taman Masai di Johor Bahru pada Rabu. - Foto BBP Pasir Gudang
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut sementara seorang lagi cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Masai Utama 1, Taman Masai di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal polis di lokasi mendapati kereta jenis Toyota Corolla Altis itu dipandu dari arah Kluang menghala ke Pasir Gudang.

“Ketika melalui laluan berkenaan, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta, seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi lelaki, juga warga tempatan berusia 23 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HIS) untuk menerima rawatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP) Razali Hussein berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS999 sekitar 3.23 pagi Rabu.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Pasir Gudang dengan enam anggota telah dihantar ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Altis yang dipercayai hilang kawalan dan masuk ke dalam parit yang berair.

“Orang awam telah membantu mengeluarkan dua mangsa dari kereta tersebut dan PKO kemudiannya membawa mangsa ke tebing dengan menggunakan pengusung (stretcher).

“Pegawai perubatan di lokasi bagaimanapun mengesahkan seorang daripada mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi ditamatkan sekitar 4.28 pagi Rabu.