'Sesuatu yang berbahaya berlaku di Amerika sekarang' - Joe Biden

Joe Biden - Foto Awani
Joe Biden - Foto Awani
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Joe Biden pada Khamis mengeluarkan amaran tegas mengenai ancaman berterusan terhadap demokrasi Amerika Syarikat (AS), memperkukuhkan hujah utama dalam potensi persaingannya dengan Donald Trump, yang dituduh Biden cuba 'memusnahkan' institusi asas negara itu.

"Sesuatu yang berbahaya berlaku di Amerika sekarang.

Ada gerakan ekstremis yang tidak berkongsi kepercayaan asas demokrasi kami: gerakan MAGA," kata Biden di Arizona.

"Tidak dipersoalkan lagi Parti Republik hari ini dikawal dan dicekam oleh ekstremis Republik MAGA," katanya, menggunakan singkatan bagi gerakan politik Trump.

"Agenda ekstrem mereka, jika dilaksanakan, akan mengubah institusi demokrasi Amerika seperti yang kita tahu," tegas beliau lagi.

Ketika Trump yang juga bekas Presiden AS sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, Biden sepanjang masa kekal berdiam diri, berhati-hati untuk tidak kelihatan campur tangan dalam urusan Jabatan Keadilan.

Jika ada sekalipun, komen substantif beliau mengenai isu undang-undang Trump adalah komen sinis tentang gambaran wajahnya dalam kes di Fulton County, Georgia.

Menghentikan penghakisan institusi dan nilai-nilai demokratik merupakan asas kepada keputusan Biden untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Dan asas itu sekali lagi akan menjadi teras kempen pilihan raya Biden kali ini, kata pegawai beliau, seraya menegaskan kempen juga akan meyakinkan pengundi dan penyumbang mengenai pemilihan semula beliau sebagai Presiden AS.

"Melindungi demokrasi terus menjadi tumpuan utama Presiden Joe Biden,” kata seorang pegawai kanan di White House. - Agensi