[VIDEO] Hanya lima murid Tahun 1 di SK Dusun

Murid tahun 1 ini mula mengikuti sesi pembelajaran pada hari ini.
Murid tahun 1 ini mula mengikuti sesi pembelajaran pada hari ini.
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Hanya lima murid Tahun Satu mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun di sini pada hari pertama sesi persekolahan 2020 hari ini.

SK Dusun yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) bagaimanapun mengalami jumlah penurunan secara mendadak berbanding 10 murid tahun lalu.

Guru Besar, Mohd Soffi Othman berkata, penurunan itu mungkin disebabkan terdapat beberapa sekolah berhampiran di samping penghijrahan penduduk kampung atas tuntutan kerja.

Menurutnya, pendaftaran hari ini berjalan lancar dan keseluruhannya terdapat seramai 65 murid termasuk sembilan murid Tahun Dua, Tahun Tiga (16), Tahun Empat (15), Tahun Lima (9) dan Tahun 6 (11)

"Kesemua murid ini adalah penduduk Kampung Dusun dan ada beberapa murid dari Kampung Pueh. Sekolah ini mempunyai enam kelas iaitu satu kelas bagi setiap darjah membabitkan 12 guru," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Turut hadir pada hari pertama sesi persekolahan hari ini ialah Pegawai Perhubungan Sekolah, Koperal Ahmad Dzarfuan Zahri dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

Murid tahun 1 SK Dusun bersama Guru Besar, Mohd Soffi Othman dan guru kelas, Shakira Mansor.
Murid tahun 1 SK Dusun bersama Guru Besar, Mohd Soffi Othman dan guru kelas, Shakira Mansor.

Murid Tahun Satu, Mohd Shafiq Iman Shukri ketika ditemui mengakui seronok kerana dapat bersekolah dan berjumpa kawan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya bangun jam 6 pagi, gosok gigi dan bersiap ke sekolah. Seronok sangat sebab jumpa kawan baharu.

"Cikgu juga bawa saya dan kawan-kawan untuk kenal kawasan sekolah, tunjuk kantin dan tandas," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, seramai 225,565 murid di 503 sekolah di negeri ini mendaftar bagi sesi persekolahan tahun ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 128,609 murid sekolah dan 96,956 pelajar sekolah menengah manakala murid Tahun Satu seramai 21,273 orang dan pelajar Tingkatan Satu seramai 18,178 murid.

"Terdapat penurunan murid Tahun Satu yang mendaftar berbanding tahun lepas iaitu seramai 21, 595 orang menurun 1.5 peratus.

"Jumlah keseluruhan guru yang ada ialah seramai 22,533 orang, dengan 12, 001 orang guru sekolah rendah dan guru sekolah menengah seramai 10,532 orang," katanya.