X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan percaya Ahli Parlimen Rasah mahu pinjam wang

Status dimuat naik Kee Chin di Facebooknya.
A
A

SEREMBAN – Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin meminta orang ramai tidak mempercayai jika menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai dirinya dan ingin meminjam wang.

Menurutnya, kelmarin seorang wanita tertipu sehingga mengakibatkan kerugian RM5,000 dan perkara itu diketahuinya selepas dihubungi mangsa yang bertanya sama ada beliau memang terdesak untuk meminjam wang.

“Saya pelik dan syak ada yang menyalahgunakan nama saya. Mangsa kemudian datang berjumpa saya di pejabat dan menceritakan kejadian sebenar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

"Lelaki yang mengaku sebagai Cha Kee Chin yang menghubungi mangsa Ahad lepas mengadu kehilangan telefon bimbit dan dompetnya yang diletak di atas meja di sebuah kedai makan,” katanya.

Kee Chin (kanan) dan mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Kee Chin (kanan) dan mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Katanya, mangsa memaklumkan keesokannya lelaki yang menyamar itu sekali lagi menghubunginya dan memberitahu mahu meminjam wang sebanyak RM8,000 bagi membolehkan sekeping cek ditunaikan.

“Mangsa yang terpedaya memasukkan RM5,000 ke dalam akaun bank yang diberi suspek. Bagaimanapun mangsa mengesyaki dia ditipu selepas sekali lagi meminta RM3,000,” katanya.

Kee Chin berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban kelmarin dan kejadian berkenaan pertama kali berlaku sejak lebih 10 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

"Saya tidak pernah meminjam wang dari sesiapa melainkan dari pihak bank bertujuan untuk membeli rumah dan kereta. Jadi, tak betul jika ada yang kata saya mahu pinjam wang.

“Saya harap masyarakat hati-hati dan tidak terpedaya dengan helah simpati sindiket penipuan itu yang gunakan taktik meraih simpati,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!