Kerajaan, SPRM digesa buat perubahan drastik jadikan Malaysia bebas rasuah

Jais Abdul Karim - FOTO ROSLI TALIB
Jais Abdul Karim - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Corruption Watch (MCW) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan berani membuat perubahan drastik dalam usaha menjadikan Malaysia bersih amalan rasuah.

Tindakan itu penting meningkatkan semangat serta memperhebatkan kempen pencegahan rasuah untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW tidak akan berputus asa untuk terus mendorong usaha kerajaan menerusi Pelan Antirasuah Nasional yang mempunyai pelbagai inisiatif dalam mencapai matlamat negara bebas rasuah.

Menurutnya, usaha ini mesti mendapat sokongan jitu daripada ahli Parlimen, pemimpin organisasi dan masyarakat.

"MCW mahu semua peringkat masyarakat didesak untuk turut serta dalam usaha menjadikan Malaysia bersih daripada amalan rasuah.

"MCW bertekad untuk melibatkan seluruh masyarakat dalam perjuangan ini kerana perubahan nilai hidup mereka boleh membawa kepada perubahan senario rasuah di dalam sesebuah negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata, MCW turut mendesak penguatkuasaan undang-undang lebih efektif dengan semua aduan rasuah mestilah disiasat secara adil dan saksama.

Menurutnya, tidak boleh ada andaian, persepsi atau realiti bahawa ada amalan penguatkuasaan terpilih.

Artikel Berkaitan:

"Individu ditohmah harus bersedia untuk membersihkan namanya dengan cara betul dan bukan dengan menggunakan kuasa atau pengaruh politik," katanya.

Jais berkata, MCW juga mendesak agar pendakwaan dijalankan secara profesional, benar-benar adil dan tidak ada unsur pendakwaan terpilih.

Menurut, MCW sarankan pengadilan lebih efektif dengan mahkamah harus membuat keputusan secara adil dan hukumannya juga mesti adil tanpa mengira siapa pelakunya.

"MCW mendesak agar pentadbiran kerajaan bebas campur tangan politik supaya semua urusan pentadbiran perkhidmatan awam adalah hasil penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan sistem perolehan berasaskan tadbir urus yang baik serta telus.

"MCW turut menggalakkan pemerkasaan pembangunan nilai dengan kita harus berupaya membangunkan nilai budaya bangsa Malaysia yang bermaruah dan patuh kepada sistem governans.

"Justeru, MCW menyeru setiap warga negara harus membina jati diri agar hidup penuh berintegriti, tidak menerima rasuah dan juga tidak memberi rasuah, "katanya.