Tipu pakej perkahwinan: Polis dapatkan maklumat katering di SSM

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

JEMPOL - Polis akan mendapatkan maklumat lengkap pemilik katering yang didakwa menipu sebuah keluarga pengantin di sini daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jempol,Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, pengantin perempuan berusia 26 itu telah berurusan dengan seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam, Selangor pada 3 April lalu.

"Mangsa kemudiannya membuat pembayaran pertama sebagai deposit secara dalam talian berjumlah RM2,780 sebelum membuat bayaran kedua pada 17 Jun lalu sebanyak RM5,554.

"Seterusnya bayaran kali kali ketiga berjumlah RM4,954 pada 30 Ogos lalu dan secara keseluruhan mangsa membuat pembayaran berjumlah RM13,200, kesemuanya secara dalam talian atas nama syarikat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, pembayaran itu bagi majlis kenduri yang diadakan pada Ahad lalu (24 Disember) namun mangsa mendakwa tidak menerima pakej seperti yang dijanjikan.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa terpedaya dalam urusan pakej perkahwinan di laman Facebook selain hanya menjalankan urusan di dalam talian sahaja.

"Polis sedang mengesan nombor akaun bank yang digunakan selain mendapatkan maklumat pemilik akaun melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan sebuah keluarga pengantin di Bandar Seri Jempol terpaksa memasak sendiri juadah kepada tetamu termasuk pakej kerusi dan meja selepas pihak katering yang ditempah tidak muncul-muncul.

Berikutan itu, keluarga berkenaan membuat permohonan maaf kepada tetamu apabila menjamu makanan seadanya selain berkongsi kejadian itu di Facebook sebelum ia tular.