X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Heret ke mahkamah pemilik haiwan ternakan degil

Seekor lembu yang dijumpai sedang merayau di LPT2 ditangkap penguat kuasa Majlis Daerah Hulu Terengganu dalam operasi dilakukan semalam. Gambar kecil: Mohd Adli
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Bermula tahun ini pemilik yang masih berdegil membiarkan haiwan ternakan masing-masing berkeliaran terutama di jalan raya dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan diheret ke mahkamah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mereka akan didakwa membabitkan kesalahan mengenai kesihatan, keselamatan, kemudahan, kesopanan dan akhlak awam di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan iaitu cuai dalam menguruskan haiwan.

Menurutnya, di bawah seksyen tersebut, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"Selepas ini, pemilik ternakan yang dikesan masih berdegil membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran akan dicari hingga ke rumah untuk diheret ke muka pengadilan.

"Kami terpaksa menggunakan ketegasan kali ini kerana masih ramai tidak serik meskipun sudah dikenakan kompaun dan pelbagai usaha untuk menyedarkan mereka termasuk mengadakan kempen, menampal poster peringatan dan lain-lain masih tidak berhasil.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Operasi Bersepadu Tangkapan Haiwan Berkeliaran LPT2, Hulu Terengganu di Sempadan Daerah Hulu Terengganu, LPT2 di sini petang semalam.

Bagaimanapun, Mohd Adli berkata, sebelum didakwa, pemilik ternakan terlibat akan diarahkan menandatangani bon akujanji untuk mengawal ternakan masing-masing iaitu di bawah Seksyen 68 dan 69 Kanun Prosedur Jenayah.

"Selain itu, paling merisaukan didapati statistik kemalangan jalan raya melibatkan haiwan ternakan terutama lembu dan kerbau di LPT2 sepanjang tahun lalu meningkat iaitu sebanyak 102 kes," katanya.

Sementara itu, Mohd Adli turut menjelaskan orang awam yang dikenal pasti sengaja memotong pagar lebuh raya boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan pagar.

Katanya, bagi kesalahan itu, mereka terlibat boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus