'Tidaklah sempurna tetapi nampak perubahan'

Pemain-pemain Harimau Muda jalani latihan sebagai persiapan berdepan China pada Selasa. - Foto Football Association of Malaysia
Pemain-pemain Harimau Muda jalani latihan sebagai persiapan berdepan China pada Selasa. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara disifatkan mempamerkan peningkatan positif dari segi taktikal dan corak permainan ketika menewaskan China 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Jinshan, Shanghai pada Sabtu.

Bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam berkata, permainan yang ditunjukkan Harimau Muda agak meyakinkan dan pemain berjaya melaksanakan perancangan diatur melalui sentuhan Juan Torres Garrido.

“Bagi saya, corak permainan pasukan negara agak meyakinkan.

"Kita nampak struktur mereka lebih disiplin dan juga pemain tahu apa sebenarnya perancangan yang dimahukan jurulatih. Itu sangat jelas.

“Saya rasa kemasukan pemain baharu banyak membantu terutama dalam kesebelasan utama seperti Muhammad Abu Khalil yang walaupun baru berusia 18 tahun, tetapi dia tunjukkan permainan yang bagus.

“Kita patut bagi kredit kepada Juan dan Shukor Adan yang nampak kemampuan Muhammad dan ini antara impak positif dan permulaan yang baik buat kedua-dua pengendali ini.

"Bagi saya, pendekatan taktikal banyak berubah secara ketara. Tidaklah sempurna tetapi nampak perubahan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Antara sesi latihan dijalani anak buah Garrido sebelum berdepan China sekali lagi pada Selasa. - Foto Football Association of Malaysia
Antara sesi latihan dijalani anak buah Garrido sebelum berdepan China sekali lagi pada Selasa. - Foto Football Association of Malaysia

Garrido yang baharu saja dilantik pada Oktober lalu bersama pembantu jurulatih, Shukor Adan berjaya mengharungi tugasan pertama mereka dengan cukup sempurna dalam kemenangan mengejutkan ke atas China itu.

Selepas ini, skuad B-23 negara akan sekali lagi berdepan lawan sama pada Selasa.

Dalam pada itu, Harimau Muda diingatkan perlu berwaspada dengan pasukan tuan rumah yang sudah tentu akan membalas dendam susulan kekalahan tersebut.

Menurutnya, ia cabaran yang perlu dihadapi skuad muda negara dan kepakaran Garrido diperlukan untuk mengatur strategi yang sesuai.

“Setiap jurulatih akan buat penggiliran pemain iaitu empat atau lima orang akan ditukarkan.

"Ini cabarannya kerana pasukan tuan rumah sudah tentu akan balas dendam untuk dapatkan kemenangan.

“Para pemain sudah tunjukkan mereka berjaya untuk lakukan pada perlawanan pertama.

"Tetapi, bagaimana cara permainan mereka sama ada game plan mereka ada perubahan atau masih sama.

"Ini yang akan menentukan perlawanan itu nanti," katanya.