Pan-gon kecewa Arab Saudi batal aksi persahabatan

Pan-gon (kanan) memantau skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan bagi persediaan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Qatar 2024 di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama
Pan-gon (kanan) memantau skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan bagi persediaan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Qatar 2024 di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon kecewa perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Arab Saudi yang dijadual berlangsung pada 4 Januari depan dibatalkan.

Ini kerana pembatalan itu menyebabkan pasukan kendaliannya berdepan kemungkinan hanya bermain satu aksi pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Januari sehingga 10 Februari.

Pan-gon berkata, bermain satu perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari sebelum memulakan kempen Piala Asia tidak mencukupi dalam persediaan anak buahnya menghadapi cabaran hebat di Doha.

"Sudah tentu tidak cukup (satu perlawanan persahabatan), saya sangat kecewa.. namun kita akan berusaha mengatasinya.

"Kita sedang cari ‘pasukan lawan’ yang ada,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam sambil mengakui pilihan pasukan lawan sangat terhad.

FAM sebelum ini mengesahkan aksi persahabatan bertemu Arab Saudi terpaksa dibatalkan atas permintaan ketua jurulatih baharunya Roberto Mancini disebabkan pengendali dari Itali itu mencongak pasukannya berkemungkinan bertemu Malaysia di pusingan 16 terbaik Piala Asia.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan pihaknya akan membantu mendapatkan satu lagi perlawanan persahabatan buat pasukan negara dengan sekurang-kurangnya menentang kelab tempatan di Doha.

"Pasukan akan berlepas 1 Januari dan kalau dapat pada 4 Januari pasukan negara (akan) bertarung dengan satu kelab bola sepak,” katanya yang ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lahir Presiden FAM & Majlis Doa Selamat Sempena Piala Asia 2023 dan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Wisma FAM, semalam.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan dua aksi persahabatan sebelum memulakan kempen Piala Asia merupakan jumlah ideal buat skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan cabaran hebat dalam saingan Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.

Pan-gon menyasarkan untuk membawa pasukan mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik. - Bernama