Eogene usaha tingkat kecergasan fizikal berdepan pemain senior

Eogene Ewe - Foto: BAM
Eogene Ewe - Foto: BAM
A
A
A

SELEPAS mendapat tempat dalam kalangan pemain elit negara, pemain badminton perseorangan lelaki Eogene Ewe Eon mahu meningkatkan kecergasan fizikal dan kemahirannya untuk dapat bersaing dengan pemain terbaik.

Pemain dari Bagan Serai itu yang akan mencecah usia 19 tahun pada Februari ini berkata, kekuatan fizikal akan memainkan peranan penting apabila menentang pemain yang jauh lebih berpengalaman di peringkat senior dan sangat membantu ketika menghadapi kejohanan berturut-turut.

Eogene, yang baru menyertai pasukan senior negara empat bulan lepas berkata, kelebihan fizikal juga penting dalam mencapai sasarannya untuk memasuki kelompok 100 terbaik dunia daripada tempat ke-319 sekarang ini.

"Saya mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi (dalam latihan) kerana tiada kejohanan sekarang, bagi meningkatkan kemahiran dan kekuatan fizikal saya. Saya masih muda, jadi ini sangat bagus untuk mendorong diri saya pergi lebih jauh.

"Sebelum ini saya hanya menentang pemain remaja, tetapi selepas ini perlu berdepan pemain yang lebih berpengalaman, mungkin mereka yang berumur 20 tahun ke atas malah sehingga 40 tahun. Ia akan menjadi lebih mencabar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selasa lepas, jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata, Akademi Badminton Malaysia (ABM) memutuskan untuk mengambil pendekatan baharu membahagikan pemain kebangsaan kepada dua kumpulan, A dan B, dengan pemain dalam Kumpulan A boleh menyertai 12 hingga 14 kejohanan setahun manakala mereka dalam Kumpulan B hanya boleh bermain empat hingga enam kejohanan.

Kumpulan A terdiri daripada Eogene, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok disenaraikan dalam Kumpulan B.

Eogene percaya kemasukannya dalam kumpulan elit meskipun beberapa rakan sebaya dan seniornya berada dalam Kumpulan B, disebabkan keputusan baik yang diraihnya pada 2023, terutamanya apabila memenangi Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia pada September dan mara ke pusingan akhir Terbuka Remaja Jerman pada Mac.

Artikel Berkaitan:

Menjadikan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebagai idola, Eogene meletakkan sasaran Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sebagai sasaran jangka panjangnya. - Bernama