Bimbang banjir makin teruk

Hasnah membawa beras untuk disimpan ditempat selamat selepas rumahnya dinaiki air.
Hasnah membawa beras untuk disimpan ditempat selamat selepas rumahnya dinaiki air.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penduduk Kampung Tersang yang berdepan banjir termenung di sini masih belum dapat menarik nafas lega berikutan hujan lebat sejak Sabtu.

Mereka bimbang berlaku kenaikan paras air yang mengakibatkan keadaan banjir lebih teruk dan terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Penduduk, Sanah Ya, 58, berkata, hujan lebat pada awal Sabtu menyebabkan paras air di kawasan rumah semakin tinggi sehingga memasuki ruang dapur.

Sanah yang baru pulang dari PPS dua hari lalu mengambil keputusan untuk berpindah semula jika hujan lebat berterusan hari ini (Ahad).

"Saya memang tidak lena tidur jika hujan lebat kerana bimbang rumah ditenggelami banjir dan paras air kini mencecah lebih satu meter di kawasan rumah," katanya.

Sanah memberitahu, keadaan itu juga menyebabkan dia bertindak memindahkan lembunya di tepi jalan raya dan hanya memberi makan dedak kerana tidak dapat menyabit rumput.

Ibu kepada 11 anak itu kini tinggal bersama enam lagi ahli keluarganya dan sudah dua kali berpindah ke PPS sejak banjir bermula awal November lalu.

Artikel Berkaitan:

Sanah menaiki bot sejauh 20 meter untuk keluar memberi makan lembu peliharaannya.
Sanah menaiki bot sejauh 20 meter untuk keluar memberi makan lembu peliharaannya.

Jabatan Meteorogi meramalkan hujan berterusan tahap bahaya sehingga Isnin di Kelantan, Terengganu dan Jerantut serta Kuantan di Pahang.

Sementara itu, warga emas, Hasnah Mamat, 70, pula mengakui tidak dapat tidur lena sejak hujan lebat awal pagi Sabtu.

Hasnah terpaksa mengharung air setinggi kira-kira satu meter di kawasan rumah selepas pulang dari PPS untuk melihat keadaan kediamannya itu.

"Saya bangun jam 4 pagi kerana hujan lebat dan memikirkan paras air yang semakin tinggi sambil mengambil barang makanan kerana bimbang ditenggelami air," katanya.

Menurut Hasnah, banjir termenung di sekitar kediamannya itu akan menjadi lebih buruk jika hujan berterusan seperti yang dijangka.