'Nampak tangan di sebalik tilam, timbunan baju'

Santi (gambar kecil) ditemui mati di bawah tilam dan timbunan baju oleh rakannya kira-kira jam 2.15 petang semalam
Santi (gambar kecil) ditemui mati di bawah tilam dan timbunan baju oleh rakannya kira-kira jam 2.15 petang semalam
A
A
A

KULIM - Seorang peniaga kuih ditemui mati di bawah tilam dan timbunan baju di rumahnya di Taman Selasih di sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Santi, 36, ditemui mati oleh rakannya yang datang ke rumah untuk mengambil dokumen pengenalan diri anak mangsa kira-kira jam 2.15 petang

Rakan mangsa, Nurmila Ardan, 44, berkata, Ahad lalu, suami mangsa yang juga warga Pakistan menghantar dua orang anak hasil perkahwinan pertama mangsa berumur 10 dan 8 tahun ke rumahnya terletak kira-kira 5km untuk dijaga sebelum menghilangkan diri.

Menurutnya, ketika pulang dari kerja, suami Nurmila, Ahmad Arfie, 54, mahu menghantar semula dua anak mangsa ke rumah pasangan itu, namun tiada sesiapa di rumah biarpun sudah menunggu sehingga jam 11 malam.

"Disebabkan tiada orang di rumah mereka, kami jaga mereka, kami cuba hubungi telefon tetapi tak dapat.

"Kami datang semula pada Isnin untuk ambil baju anak-anak dia, namun mereka masih belum pulang," katanya.

Mereka kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan kedua ibu bapa kanak-kanak itu, pada keesokan hari.

"Pada hari sama, polis mengarahkan supaya kami mendapatkan dokumen pengenalan diri kanak-kanak itu di rumah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perasaan curiga timbul ketika dia dan suami ternampak tompokan darah di bilik tengah selain keadaan barang berselerakan ketika mahu mencari dokumen penting dua kanak-kanak itu.

"Bila pergi dekat, baharu kami nampak macam ada tangan di sebalik timbunan kain dan tilam. Terkejut sebab nampak mayat Santi seperti sudah banyak hari meninggal dunia.

"Kami terus beritahu polis kejadian ini," katanya.

Orang ramai dipercayai kenalan mangsa berkumpul di hadapan rumah mangsa di Taman Selasih semalam.
Orang ramai dipercayai kenalan mangsa berkumpul di hadapan rumah mangsa di Taman Selasih semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia dalam sebuah bilik di Taman Selasih pada jam 2.32 petang.

"Tiada sebarang kecederaan dan senjata ditemui pada tubuh mangsa namun forensik polis mendapati badannya sudah menggelembung sehingga sukar untuk kenal pasti kecederaan pada tubuh.

"Bagaimanapun, menurut pegawai perubatan mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 72 jam dan menurut maklumat awam dia dilihat kali terakhir pada 29 Disember lalu di rumahnya," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Sasatan masih dijalankan dan kita sedang berusaha untuk mengenal pasti waris dan punca kematian.

"Dalam pada itu, kedua-dua anak mangsa kini berada dalam jagaan sementara Nurmila dan suami," katanya.