Daripada juara liga kepada juara Eropah, kini juara dunia

Guardiola bersama pemain City meraikan kejayaan menjuarai Piala Kelab Dunia selepas menewaskan Fluminense 4-0 dalam perlawanan akhir. - Foto Facebook Manchester City
Guardiola bersama pemain City meraikan kejayaan menjuarai Piala Kelab Dunia selepas menewaskan Fluminense 4-0 dalam perlawanan akhir. - Foto Facebook Manchester City
A
A
A

MANCHESTER City menambah koleksi trofi kelima selepas menewaskan Fluminense 4-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab di Jeddah pada Sabtu untuk menutup 2023 dengan pencapaian yang luar biasa.

City adalah kelab Inggeris pertama yang memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Liga Juara-Juara, Piala Super dan Piala Dunia Kelab secara serentak.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian diraih kelab ini. Apa yang telah kami lakukan adalah pencapaian yang cemerlang.

“Kejayaan merangkul trofi ini adalah untuk menjadi pasukan terbaik dunia. Sebagai pengurus ini merupakan perkara yang paling saya banggakan bagi membuktikan bahawa kami sentiasa ada.

“Tidak kira berapa banyak kami menang, tidak kira apa trofi yang kami angkat, kami berada di sana. Sekali lagi untuk berjuang untuk yang seterusnya,” kata pengendali, Pep Guardiola.

Dalam aksi di Stadium Raja Abdullah, Jeddah itu, Julian Alvarez menceriakan penyokong City hanya 40 saat selepas sepak mula.

Nino kemudian menjaringkan gol sendiri minit ke-27 selepas tertampan rembatan Phil Foden.

Foden kemudian melebarkan jaringan dengan gol ketiga pada minit ke-72, sebelum Alvarez melengkapkan gol kedua peribadi pada minit ke-88.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, musim City sudah cemerlang apabila melengkapkan treble dengan menewaskan Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada Jun.

Namun gergasi Inggeris itu tampil lebih luar biasa apabila menambah dua trofi lagi iaitu Piala Super dan Piala Dunia Kelab.

“Untuk memenangi treble adalah benar-benar istimewa, tetapi untuk memenangi dua lagi trofi dan kini memegang lima gelaran utama ini menunjukkan mentaliti unik pasukan ini, kelab dan penyokong.

“Ia sesuatu yang belum pernah dicapai kelab Inggeris lain dan kami akan sentiasa mengingati masa luar biasa yang kami habiskan bersama,” kata Guardiola.

Guardiola merupakan pengendali pertama memenangi Piala Dunia Kelab dengan tiga pasukan, membimbing Barcelona meraih kemenangan pada 2009 dan 2011, dan Bayern Munich pada 2013.

Pemain City akan mempunyai lencana Juara Dunia 2023 yang disulam pada jersi untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Goodison Park pada awal pagi Khamis.

Saingan Liga Perdana Inggeris menyaksikan City kini menduduki tangga keempat dengan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir akan mengalihkan perhatian kembali kepada kejuaraan domestik.