Pelaburan baharu Jepun cerminan keyakinan masa depan Malaysia - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion daripada syarikat Jepun semasa lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun baru-baru ini, mencerminkan keyakinan Jepun terhadap masa depan Malaysia.

Anwar yang baru sahaja menamatkan lawatan kerja selama lima hari yang berjaya ke Tokyo dari 16 hingga 21 Disember berkata, ia dijangka meningkatkan pelaburan Jepun di Malaysia kepada sekurang-kurangnya RM30 bilion tahun ini.

"Ini mencerminkan keyakinan Jepun terhadap masa depan Malaysia.

"Pelaburan bernilai tinggi ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi yang sama rata untuk lebih ramai rakyat Malaysia, selaras dengan keutamaan kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

"Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada kesudian Jepun untuk bersama-sama dengan kita dalam membina semula Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan, yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.

Anwar berkata, beliau yakin dengan masa depan Malaysia pada 2024 dan kerangka Ekonomi MADANI menzahirkan kemakmuran bersama untuk semua yang komited terhadap agenda transformasi Kerajaan MADANI.

"Saya optimistik sekiranya jika semua rakyat bersatu dan bekerjasama dalam merealisasikan wawasan ini, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi,” katanya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, jadual Anwar yang padat mencerminkan betapa kukuhnya persahabatan yang terjalin dengan Jepun sejak sekian lama, dan juga kestabilan politik baharu dan prospek pertumbuhan dan transformasi ekonomi yang cerah di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu, turut diumumkan hubungan diplomatik Jepun-Malaysia akan diperkukuh lagi melalui status Perkongsian Strategik Komprehensif dan kerjasama penting ini dikhaskan untuk hubungan strategik bersama Jepun.

Di bawah jalinan perhubungan baharu yang diperkukuh ini, kerjasama antara Jepun dan Malaysia dijangka berkembang luas, merentasi bidang ekonomi, pertahanan, sains, teknologi, inovasi, alam sekitar dan budaya.

"Produk pertama hasil Perkongsian Strategik Komprehensif baharu ialah Geran Bantuan Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan (OSA) sebanyak 400 juta yen (RM13 juta) daripada Jepun untuk meningkatkan keselamatan maritim Malaysia.

"Ini adalah tambahan kepada pakatan kerjasama yang ditandatangani antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA),” menurut Pejabat Perdana Menteri.

Dalam lawatan kerja itu, Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat bersemuka dengan syarikat Jepun RoHM Wako, NEC Co. Ltd. (Toshiba), dan Mitsui & Co. Ltd dan menghadiri persidangan meja bulat dengan 25 syarikat Jepun, yang menzahirkan minat untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Anwar telah menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, selain menghadap Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako; pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida; dan diaspora Malaysia di Jepun.

Beliau turut berucap pada Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (AZEC).

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Jepun sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Beliau turut ditemani oleh delegasi kepimpinan tertinggi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang lain. - Bernama