Niat bantu keluarga dorong kejayaan

Muhammad Adam Harith (tengah) memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2022 dan merupakan salah pelajar yang mengikuti program YPeA di bawah Yayasan PETRONAS, ECERDC dan UMPSA.
Muhammad Adam Harith (tengah) memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2022 dan merupakan salah pelajar yang mengikuti program YPeA di bawah Yayasan PETRONAS, ECERDC dan UMPSA.
A
A
A

MERSING - Kesusahan ibu mencari rezeki menyara keluarga menjadi kekuatan bagi Tuan Nafiezul Afiq Tuan Iskandar dan Muhammad Adam Harith Badrul Hisyam masing-masing berusia 18 tahun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Tuan Nafiezul Afiq memperoleh keputusan 5A kini menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UITM Melaka), manakala Muhammad Adam Harith yang sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Johor berjaya mendapat 9A dalam peperiksaan SPM.

Dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin itu, merupakan antara 200 pelajar di daerah ini yang telah terpilih menyertai Latihan Akademik Yayasan Petronas Empower ECER (YPeA) sebelum ini.

YPeA merupakan program latihan akademik di bawah tajaan bersama di antara Yayasan PETRONAS dan Majlis Wilayah Ekonomi Pandai Timur (ECERDC) manakala Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan pelaksana program tersebut bagi daerah Mersing.

Mohammad Adam Harith ketika ditemui berkata, setelah terpilih mengikuti program YPeA sebelum ini, dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

“Saya sangat bersyukur kerana dengan adanya program ini, ia dapat membantu saya mengikuti kelas tambahan secara percuma. Ibu saya, Siti Khadijah Zaini, 39, berniaga di kantin sekolah dan perlu menyara kami lima beradik.

“Sekiranya tiada program sebegini, sudah pasti saya tidak mampu untuk mendapatkan kelas tambahan serta memperoleh keputusan cemerlang,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang peguam.

Faris (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada Tuan Nafiezul Afiq yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2022.
Faris (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada Tuan Nafiezul Afiq yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2022.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuan Nafiezul Afiq pula mengakui semangatnya untuk mengubah nasib keluarga mendorongnya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Katanya, semangat itu tercetus selepas menyertai kem motivasi yang dianjurkan oleh YPeA sebelum ini.

"Sewaktu kem motivasi itu, ramai penceramah memberikan dorongan untuk saya berjaya dalam pelajaran berusaha mengubah hidup keluarga. Saya mahu bantu ibu saya, Normala Ali, 38, yang menyara kami dengan mengambil upah memotong rambut,” katanya yang bercita-cita membina kerjaya sebagai seorang arkitek.

Terdahulu, Tuan Nafiezul Afiq dan Muhammad Adam Harith dikunjungi Eksekutif Operasi (Pendidikan) Yayasan PETRONAS, Faris Rusli dan Pengurus Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zurinawati Zainal Abidin dan Eksekutif Pembangunan Komuniti UMP Advanced, Kamal Nazrin Abdul Ghafar sempena Program Jalinan Kasih di Kampung Semaloi, Endau di sini pada Jumaat.

Sebanyak tujuh buah sekolah di Mersing menyertai Program Jalinan Kasih di daerah Mersing iaitu SMK Ungku Husin, SMK Mersing, SMK Anjung Batu, SMK Nitar, SMK Pai Chee, SMK Tan Sri Abdul Kadir dan SMK Felda Tenggaroh.

Pelajar-pelajar yang tercalon dalam program ini adalah dari golongan yang berpendapatan isi rumah B40, manakala pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian gred akademik tingkatan empat.

Program YPeA menyaksikan pelajar yang menduduki SPM 2022 mencatatkan peningkatan dalam Gred Purata Murid (GPM) sebanyak 95.6 peratus, manakala sementara peratus lulus juga telah meningkat kepada 98.5 peratus berbanding 45.5 peratus sebelum ini.