Tiket konsert 'sold out' dalam masa dua jam, Siti Nurhaliza mohon maaf

Siti berterima kasih atas sambutan tidak terjangka daripada peminat.
Siti berterima kasih atas sambutan tidak terjangka daripada peminat.
A
A
A

SEPERTI dijangka, tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh singkat selepas dibuka semalam.

Dalam masa sama, ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang untuk menyaksikan persembahan hebat daripada penyanyi tersohor itu pada 9 Mac depan.

Menzahirkan ucapan terima kasih di atas sambutan hangat yang diberikan, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut memohon maaf kepada mereka yang gagal mendapatkan tiket.

"Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam. Maafkan saya kepada yang tidak dapat membelinya.

"Saya minta maaf sedalam-dalamnya juga. Saya memahami ada yang mencuba dan tidak sempat mendapatkannya.

"Ada rezeki, di persembahan yang lain nanti. Doakan saya," tulisnya menerusi Instagram.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengakui kecewa kerana tidak dapat turut serta.

Bahkan, ada yang turut mencadangkan agar lokasi konsert itu diubah ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi membolehkan kapasiti yang lebih besar hadir sama.

Artikel Berkaitan:

"Tokti (Datuk Siti), apa kata konsert ini batal dari Axiata tukar Bukit Jalil (Stadium Nasional). Jadi ramai lagi boleh beli tiket," tulis seorang peminat yang mendapat sokongan ramai.

Terdahulu pada Selasa, pelantun Percayalah itu mengumumkan bakal mengadakan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac depan.

Tiket konsert bernilai RM129 hingga RM799 habis dijual dalam tempoh dua jam, selepas dibuka pada jam 2 petang, Khamis.