Fadhlina, KPM mohon maaf susulan insiden larangan lagu Tamil

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini memohon maaf kepada semua komuniti India di negara ini susulan insiden larangan nyanyian lagu tradisi bahasa Tamil sewaktu penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu, selain menyifatkan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, KPM juga telah mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang didapati cuai dalam melaksanakan perkara berkaitan sensitiviti itu, selain memberi jaminan perkara sama tidak berulang lagi.

"Oleh demikian, saya menggunakan sepenuh tanggungjawab ini (sebagai menteri) melahirkan kekesalan yang mendalam dan pihak saya (KPM), ingin memohon maaf kepada komuniti India yang tersinggung dengan keadaan dan kesilapan teknikal, komunikasi dan apa juga tujuan yang berlaku pada majlis itu.

"Kita ambil tanggungjawab penuh, jadi tidak timbul isu kita (KPM) tidak sensitif... perkara ini memang tidak disengajakan, tidak pernah berlaku sebelum ini... tiada langsung niat untuk meminggirkan mana-mana kaum,” kata beliau ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina memberi jaminan nyanyian lagu 'Tamil Valthu' akan dinyanyikan pada sambutan Hari Deepavali peringkat Pulau Pinang pada 29 Nov ini agar ia dapat dihayati oleh semua pendidik di negeri itu.

Pada masa yang sama, katanya, bagi memperkukuhkan lagi persefahaman dalam soal kebudayaan, tradisi dan amalan agama masing-masing, pelbagai medium perbincangan akan digunakan termasuk jawatankuasa-jawatankuasa pendidikan sedia ada dan persatuan guru dan ibu bapa (PIBG) sekolah.

Sebelum ini beberapa ahli Parlimen dan parti politik menggesa KPM menyiasat berhubung tindakan menghalang nyanyian 'Kadavul Valthu' dan 'Tamil Valthu' dipersembahkan pada majlis perasmian Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran KPM di sebuah hotel di Kepala Batas sehingga menimbulkan polemik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP), Fadhlina berkata, garis panduan bagi pelaksanaan program itu kekal dan tidak pernah diubah.

"Bagi (sekolah) yang telah melaksanakan DLP 100 peratus, kita teruskan, tak ada masalah. Kita akan mulakan balik satu kelas bukan DLP pada tahun depan untuk memastikan bahawa komitmen kerajaan untuk menjaga bahasa ibunda dan bahasa Melayu ini terus dipertahankan.

"Kelas bukan DLP ini masih penting kerana kita dapati dalam sesi kunjung bantu di lima sekolah (di Wilayah Persekutuan) ini, ada sekolah yang tidak mencapai tahap penguasaan yang kita mahukan, baik Bahasa Melayu baik bahasa ibundanya," katanya.

Selain pelaksanaan program DLP, Fadhlina turut memberi jaminan bahawa kementerian juga melaksanakan pelbagai program, polisi dan dasar lain dalam memperkasakan Bahasa Inggeris menerusi sektor pendidikan negara.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketika perbahasan membangkitkan isu berkaitan pelaksanaan DLP yang disifatkan kurang jelas kepada ibu bapa dan pihak sekolah.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM58,726,459,600 yang diperuntukkan kepada KPM dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 28 Ahli Parlimen. - Bernama