Melaburlah di tempat selamat supaya tak putih mata

Pilih pelaburan selamat seperti yang diuruskan PNB atau pihak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). - Gambar hiasan
Pilih pelaburan selamat seperti yang diuruskan PNB atau pihak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). - Gambar hiasan
A
A
A

BAGI yang mempunyai wang yang disimpan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), mereka boleh mengukir sedikit senyuman kerana Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1 sen seunit.

Berbanding tahun lalu, prestasi tahun ini adalah lebih baik walaupun dalam persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu akibat kesan pandemik dan peperangan yang berlarutan.

Dengan kadar agihan pada tahun ini, pemegang unit yang membuat pinjaman bank untuk membiayai pelaburan masih mampu menampung kadar faedah pinjaman bank dengan sedikit lebihan pendapatan.

Golongan yang meminjam untuk melabur memerlukan tempoh yang lebih lama untuk menikmati hasil pelaburan mereka.

Walau apa pun caranya, asalkan ada tabiat menyimpan, ia adalah lebih baik daripada menghabiskan wang dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Hakikat yang pasti, untuk melabur dalam apa-apa instrumen pun, perkara yang paling penting ialah memilih pelaburan selamat seperti yang diuruskan PNB atau pihak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kebanyakan orang kita mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menawarkan pulangan berganda-ganda sedangkan kebanyakan skim pelaburan yang terlalu indah itu pasti berakhir dengan kerugian.

Contohnya janji bulan bintang seperti pulangan 51 kali ganda dalam tempoh enam bulan dan macam-macam tawaran lagi yang tidak munasabah tetapi pasti akan dapat menjerat mana-mana mangsa.

Artikel Berkaitan:

Skim pelaburan kripto, ponzi emas, pelaburan di luar negara dan banyak lagi skim pelaburan tidak wujud telah menyebabkan ramai rakyat kita berputih mata hilang wang simpanan dengan begitu mudah.

Paling membimbangkan, wang yang lebur itu adalah duit pinjaman peribadi dengan along yang dibuat dengan anggapan boleh dibayar semula dengan hasil 'pelaburan' yang akan diperolehi kelak.

Kesimpulannya, usahlah terpedaya dengan skim pelaburan yang terlalu tinggi pulangannya kerana sudah banyak kes penipuan yang dilaporkan di sekeliling kita yang akhirnya menyebabkan mangsa hidup sengsara.