Enam pelancong terkandas di Pulau Rawa berjaya dipindahkan

Maritim Malaysia berjaya memindahkan kesemua pelancong yang terdiri daripada dua warga Perancis, dua dari Singapura dan dua pelancong tempatan, berumur lingkungan 35 hingga 60 tahun. - Foto Facebook Johorfm
Maritim Malaysia berjaya memindahkan kesemua pelancong yang terdiri daripada dua warga Perancis, dua dari Singapura dan dua pelancong tempatan, berumur lingkungan 35 hingga 60 tahun. - Foto Facebook Johorfm
A
A
A

MERSING - Enam pelancong yang terkandas akibat cuaca buruk berikutan Monsun Timur Laut di Pulau Rawa di sini, berjaya dipindahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pagi Khamis.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot ronda PERKASA 31 yang sedang dalam rutin Op JAKSA, diarahkan ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan daripada pengusaha resort pulau itu, kira-kira jam 7.45 pagi.

Beliau berkata, pihaknya berjaya memindahkan kesemua pelancong yang terdiri daripada dua warga Perancis, dua dari Singapura dan dua pelancong tempatan, berumur lingkungan 35 hingga 60 tahun.

"Meskipun dalam keadaan hujan lebat dan laut bergelora, bot ronda Maritim berjaya menghantar mereka yang terkandas ke Jeti Awam Syahbandar, Mersing, dalam keadaan selamat, pada 9.45 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Suhaizan mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika Monsun Timur Laut terutama fenomena air pasang besar yang diramalkan bermula 19 Nov hingga 31 Disember, kerana amat berbahaya kepada semua aktiviti di pesisir pantai dan juga laut.

"Sebarang aduan kecemasan dan keselamatan di laut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: