Penduduk wajar diberi pampasan rumah bernilai RM300,000 - Reach

Laporan Sinar Harian pada 10 Disember lalu berhubung piket dibuat penduduk Kampung Setia Jaya susulan arahan pengosongan penempatan diduduki. (Gambar kecil: Iskandar)
Laporan Sinar Harian pada 10 Disember lalu berhubung piket dibuat penduduk Kampung Setia Jaya susulan arahan pengosongan penempatan diduduki. (Gambar kecil: Iskandar)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Setia Jaya yang diarahkan mengosongkan penempatan mereka wajar diberikan pampasan sebuah rumah bernilai RM300,000.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya berpendirian walaupun mahkamah telah membuat keputusan tanah tersebut milik Kolej Tuanku Abdul Rahman ( KTAR), namun penduduk terbabit tidak boleh dihalau dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, penduduk telah datang ke Kuala Lumpur selepas peristiwa 13 Mei 1969 di atas gesaan pimpinan negara agar komposisi kaum di bandar raya menjadi lebih seimbang.

"Malang sekali tanah yang diduduki tidak diberi milik kepada penduduk yang telah meneroka tanah tersebut tetapi kepada pihak KTAR.

"Walaupun keputusan mahkamah perlu dihormati, namun masih ada masa untuk membetulkan keadaan memandangkan Barisan Nasional (BN) yang merupakan kerajaan ketika pemberimilikan berlaku adalah sebahagian daripada kerajaan hari ini," katanya menerusi kenyataan.

Penduduk sebelum ini memohon kerajaan campur tangan susulan pemilik tanah mengarahkan pengosongan tanah diduduki mereka menggunakan saluran mahkamah.

Pada 11 Disember lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan memberikan pemilikan Kampung Setia Jaya kepada KTAR.

Iskandar berkata, penduduk wajar diberi pampasan setimpal di atas usaha mereka membangunkan tanah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pampasan serta penyelesaian masalah itu perlu dilakukan secara bermaruah dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga seperti memindahkan mereka ke projek perumahan rakyat (PPR) yang perlu dibayar sewa bulanan.

"Tawaran membeli rumah kos rendah RM42,000 dengan potongan RM7,000 seperti peneroka-peneroka bandar sebelum ini juga tidak sepadan dengan usaha mereka meninggalkan kampung halaman untuk datang ke kota.

"Reach juga tidak mahu melihat penduduk diberikan pampasan kewangan yang kecil dan akhirnya mereka terpaksa pulang semula ke kampung asal kerana tidak mampu membeli rumah di bandar raya," ujarnya.

Beliau turut berpandangan, sebarang penyelesaian hendaklah mengambil kira supaya mereka kekal di tanah tersebut atau setidaknya kekal di bandar raya.

"Pemilik tanah wajar membangunkan sebahagian dari tanah tersebut untuk menempatkan penduduk.

"Kos pembinaan boleh dibiayai dengan membina unit-unit kediaman yang lebih banyak daripada yang diperlukan penduduk dan unit-unit lebihan ini dijual kepada orang ramai untuk mendapatkan pulangan," katanya.

Tambah beliau, konsep subsidi silang (cross subsidi) tersebut telah dilaksanakan oleh pemaju-pemaju untuk menguruskan peneroka bandar yang berada di tanah mereka.

"Reach berpandangan berdasarkan pengorbanan mereka, setiap keluarga wajar diberikan pampasan sebuah rumah 850 kaki persegi bernilai sekurang-kurangnya RM300,000 sebuah.

"Reach berharap isu-isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana kami tidak mahu melihat ia berpanjangan sehingga menjadi isu perkauman," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan campur tangan susulan terdapat veteran tentera di kampung tersebut dan perlu dihargai jasa mereka yang telah mempertahankan negara daripada petualang.