DAP lebih pentingkan aspirasi parti dari kepentingan nasional - Mahathir

Mahathir
Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai untuk menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur dilihat lebih mementingkan aspirasi parti daripada kepentingan nasional.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, langkah itu yang dilihat sebagai mencerminkan agenda DAP daripada aspirasi sebenar komuniti Cina dan India, telah membangkitkan kebimbangan terhadap keserasian sosial dan politik negara.

“Ini menunjukkan kekhuatiran akan perubahan radikal yang tidak mempertimbangkan konteks sosio-politik Malaysia.

“Perubahan ke arah pilihan raya tempatan, yang telah diadaptasi pasca-kemerdekaan untuk mencerminkan identiti unik Malaysia, kini menimbulkan persoalan tentang kesesuaiannya dengan struktur dan nilai-nilai yang telah lama ditetapkan dalam masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu,

Mahathir berkata, ini kerana usul tersebut boleh menjejaskan keseimbangan dan keharmonian dalam kalangan rakyat yang berbilang etnik dan agama.

“Kempen DAP ini dilihat sebagai mencabar keputusan bersejarah yang telah lama ditetapkan dalam masyarakat Malaysia, dan lebih jauh lagi, sebagai wakil ideologi parti yang tidak mencerminkan keperluan atau kehendak masyarakat Cina dan India secara keseluruhan.

“Kritikan terhadap cadangan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menolaknya demi menjaga kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya

Jelasnya, kegusaran utama adalah cadangan itu boleh mengancam kedudukan istimewa agama Islam dan bangsa Melayu yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, serta mengganggu keseimbangan etnik dan keharmonian yang telah lama terbina di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.