Vijaya, Ainur Saafiqah tawan Gemas Warriors Challenge 2023

Barisan pemenang Gemas Warriors Challenge 2023 bergambar selepas majlis penyampaian pingat di Gemas pada Ahad lalu.
Barisan pemenang Gemas Warriors Challenge 2023 bergambar selepas majlis penyampaian pingat di Gemas pada Ahad lalu.
A
A
A

Wakil tuah rumah, R Vijaya Sanggaran dan Ainur Saafiqah Azmi membuktikan kehebatan mereka apabila menawan Gemas Warriors Challenge 2023 yang berakhir di Gemas Golf Resort, Tampin, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

Vijaya yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan muncul juara bagi kategori lelaki apabila merekodkan masa 20 minit, manakala Ainur Saafiqah dari Seremban pula menjuarai kategori wanita selepas menamatkan larian dengan catatan 35 minit.

Selaku juara bagi edisi 2023 ini, Vijaya dan Ainur Safiqah masing-masing meraih hadiah wang tunai berjumlah RM500.

“Pertandingan ini sangat mencabar tetapi saya tetap puas kerana berjaya melepasi setiap halangan yang perlu ditempuhi.

“Keputusan untuk menyertai acara ini pada saat-saat akhir ternyata berbaloi," jelas Vijaya yang berharap Gemas Warriors Challenge terus dianjurkan pada masa akan datang.

Pertandingan anjuran Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu disertai lebih 400 peserta termasuk dari Johor, Terengganu, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan juga Perak.

Gemas Warriors Challenge merupakan pertandingan berbentuk larian berhalangan, sekali gus mencabar kekuatan fizikal dan mental para peserta apabila perlu melalui lima bentuk halangan sepanjang larian sejauh enam kilometer itu.

Menurut Setiausaha MDT, Zulhilmi Marzuki, pertandingan tersebut menjadi platform bagi para peserta untuk mencabar diri mereka terhadap aktiviti lasak seterusnya membina kekuatan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Aktiviti ini juga dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan Masyarakat tempatan bagi membantu membentuk keseimbangan dari aspek spiritual, mental, intelektual, pembangunan fizikal dan personaliti,” jelas Zulhilmi.

Zulhilmi berkata, sepanjang cabaran tersebut para peserta perlu mengharungi pelbagai cabaran termasuk berlari melalui trek tayar, laluan labah-labah, laluan berbukit, merangkak bawah jaring dan memanjat dinding.

Menurutnya, pertandingan yang julung kalinya diadakan itu bertujuan mempromosikan sukan lasak, selain menarik lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu khususnya daerah Gemas.

“Tahun ini, MDT mewujudkan produk sukan lasak ke Gemas bagi merancakkan ekonomi dan pelancongan di daerah itu.

“Ia bagi membudayakan gaya hidup sihat, selain mengisi masa lapang khususnya semasa cuti hujung minggu bersama ahli keluarga.

"Saya yakin Gemas Warriors Challenge itu dapat menaikkan nama daerah Tampin sebagai tarikan kepada peminat sukan lasak,” jelasnya,

Hadir sama memeriahkan pertandingan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Majlis Daerah Tampin, S Veerapan yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadiah wang tunai turut disediakan kepada para pemenang sehingga tempat kelima dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan.