Isu scammer: PDRM tidak ambil mudah, sambil lewa laporan diterima

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib mangsa penipuan atau scammer bahawa pihak berkuasa tidak sesekali mengambil mudah atau tidak peka dengan kes terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya merujuk kepada laporan akhbar berkenaan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) yang membawa aduan kira-kira 500 mangsa penipuan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) pada 19 Disember berkaitan tiga syarikat yang masih belum dikenakan tindakan setelah aduan dibuat.

Menurutnya, JSJK ingin menjelaskan bahawa tiga syarikat yang menjadi rujukan MHO ialah Radiance Asset Berhad, Planetrade Holdings Sdn Bhd dan The Rain Maker MGMT Sdn Bhd.

"Merujuk kepada tiga syarikat itu, laporan polis yang diterima ialah sebanyak 547 di mana 62 kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Daripada jumlah itu, 42 kertas siasatan masih dalam status siasatan, dua dalam tindakan kamar Pejabat Peguam Negara, 14 telah dituduh dan empat telah diterima arahan tiada tindakan lanjut disebabkan pengadu tidak lagi berminat dan menarik laporan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, JSJK menegaskan bahawa semua laporan polis yang mempunyai unsur penipuan atau pecah amanah akan dibuka kertas siasatan.

Katanya, bagaimanapun dalam kes melibatkan jenayah pelaburan, kebanyakan kes menjurus kepada peruntukan di bawah undang-undang lain seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778).

"Ini yang mana terdapat agensi khusus untuk menyiasat kesalahan spesifik yang berkaitan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, kata Ramli, apabila sesuatu laporan polis diterima, pihak JSJK akan menasihatkan pengadu untuk merujuk laporan mereka kepada agensi berkaitan sekiranya berkenaan.

"Dalam masa sama, JSJK menasihatkan orang ramai supaya tidak muda terpedaya dengan skim-skim pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi, apatah lagi syarikat itu tidak mendaftar dengan agensi sepatutnya dalam urusan pelaburan seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya.