Yayasan Jariah Aafiyat, Bank Islam bekerjasama menerusi Sadaqa House

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Berhad, Datuk Mohd Muazzam Mohamed menyerahkan Geran Perniagaan Mikro Sadaqa House berjumlah RM200,000 kepada Pengerusi Yayasan Jariah Aafiyat, Aidil Azwal Zainudin di Hotel Royale Chulan pada Rabu. - - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Berhad, Datuk Mohd Muazzam Mohamed menyerahkan Geran Perniagaan Mikro Sadaqa House berjumlah RM200,000 kepada Pengerusi Yayasan Jariah Aafiyat, Aidil Azwal Zainudin di Hotel Royale Chulan pada Rabu. - - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KERJASAMA antara Yayasan Jariah Aafiyat dengan Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad menerusi Sadaqa House berupaya membantu lebih ramai usahawan B40 untuk mengembangkan perniagaan, sekali gus sebagai 'senjata' meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Pengerusi Pemegang Amanah yayasan itu, Aidil Azwal Zainudin berkata, objektif utama kerjasama tersebut bagi membantu golongan rentan keluar daripada kepompong kemiskinan, seterusnya melayakkan mereka menjadi pembayar zakat bagi melengkapkan sebahagian daripada rukun Islam keempat.

Menurutnya, walaupun yayasan itu baru ditubuhkan pada 2020, namun tahun ini sudah berjaya membantu lebih 15 isi rumah keluar daripada garis kemiskinan.

Tambahan dengan geran yang disumbangkan oleh Bank Islam sebanyak RM200,000, ia dapat membantu lebih ramai usahawan mikro pada tahun 2024.

“Fokus kita adalah menjadikan keusahawanan sebagai 'senjata' untuk membangunkan ekonomi golongan sasar dengan membimbing mereka menerusi jaringan komunikasi, pemasaran dan juga modal supaya dapat memajukan lagi perniagaan mengikut bidang masing-masing.

Aidil Azwal - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Aidil Azwal - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

“Kita bukan sahaja mahu mereka menjadi pembayar zakat, tetapi juga menyempurnakan sebahagian rukun Islam keempat dan kelima.

“Jumlah sasaran pada tahun 2024 adalah sebanyak 20 isi rumah daripada golongan rentan akan dibantu dari segi kewangan dan pengurusan perniagaan supaya mereka memperoleh keuntungan secara konsisten,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Usaha Sama Strategik Program Pembangunan Usahawan Mikro antara Yayasan Jariah Aafiyat dengan Bank Islam Malaysia Berhad di Hotel Royale Chulan di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed dan Lembaga Pengarahnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen.

Sementara itu, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan bank tersebut, Mohd Nazri Chik berkata, pembiayaan usahawan mikro menerusi Sadaqa Bank Islam telah memberi manfaat lebih 900 orang sejak tahun 2020.

Jelasnya, geran perniagaan tersebut akan memberi fokus terhadap sokongan kewangan kepada usahawan mikro yang terpilih supaya dapat meningkatkan kapasiti dan kestabilan perniagaan mereka.

Mohd Nazri - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Mohd Nazri - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

“Setakat 2023 dana yang diterima oleh Sadaqa House adalah sebanyak RM15 juta. RM6 juta daripada Bank Islam, manakala selebihnya daripada pelanggan dan juga penyumbang lain.

“Menerusi program pembiayaan mikro iTekad BangKIT, peniaga akan mendapat pembiayaan daripada RM20,000 dan boleh meningkat sehingga RM50,000 dengan sifar kadar faedah. Pemberian geran pula tidak perlu dibayar semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, usahawan mikro di bawah program Yayasan Jariah Aafiyat, Zulkifli Zakaria, 61, berkata, bimbingan diberikan dalam program tersebut membantu mengembangkan perniagaan trak makanan yang diusahakan sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, bantuan seperti perkakas memasak dan beberapa keperluan lain memudahkan pengurusan perniagaan serta mempercepatkan masa menyiapkan hidangan kepada pelanggan.