200kg produk pertanian dari Thailand dirampas

Produk pertanian yang dirampas oleh Maqis Kelantan di ICQS Pengkalan Kubor hari ini.
Produk pertanian yang dirampas oleh Maqis Kelantan di ICQS Pengkalan Kubor hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan berjaya mematahkan cubaan membawa masuk pelbagai keluaran pertanian bernilai RM2,000 tanpa sebarang dokumen sah di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Pengkalan Kubor semalam.

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan dari Thailand di Kompleks ICQS Pengkalan Kubor kira-kira jam 8.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa keluaran pertanian seperti mangga, ubi keledek dan pisang serta pelbagai jenis sosej dengan anggaran berat 200 kilogram yang diletakkan di dalam kenderaan tersebut.

“Keluaran pertanian itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaannya sendiri,” katanya semalam.

Katanya, keluaran pertanian tersebut telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mempunyai dokumen yang sah permit import dan Sijil Kesihatan dari negara asal.

Pengimport boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: