Jualan Agro Madani sentiasa dinanti rakyat

Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan makanan dan keperluan asas dengan harga berpatutan di Tapak Jualan Agro MADANI di pekarangan Masjid Jamek Tunku Besar Tampin pada Selasa. - Foto Bernama
Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan makanan dan keperluan asas dengan harga berpatutan di Tapak Jualan Agro MADANI di pekarangan Masjid Jamek Tunku Besar Tampin pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TAMPIN - Setiap kali Jualan Agro Madani diadakan di daerah ini, Ropeah Mat Said, 53, antara penduduk yang tidak pernah melepaskan peluang untuk membeli-belah di jualan itu.

Malah, suri rumah dari Kampung Pondoi di sini berkata, beliau bersama anak dan cucunya akan ke lokasi terbabit seawal 8 pagi kerana tidak mahu ketinggalan mendapatkan barangan dihajati dengan harga berpatutan.

Beliau berkata, kesempatan itu juga perlu digunakan sebaiknya oleh penduduk sekitar untuk mendapatkan pelbagai barangan makanan dan keperluan asas dengan harga murah yang pastinya mampu mengurangkan beban sara hidup dan menjimatkan perbelanjaan.

"Hari ini Jualan Agro Madani diadakan di pekarangan Masjid Jamek Tuanku Besar di sini kira-kira 20 minit daripada rumah, pergi awal takut nanti cepat habis, kami dapat tahu program ini diadakan melalui kumpulan WhatsApp kampung sejak dua ke tiga hari lepas, memang sesuatu yang ditunggu-tunggu.

"Mak cik gembira jualan ini diadakan, kami akan dapatkan stok barangan termasuk minyak masak, beras, telur dengan harga yang lagi murah dari pasaran yang bezanya lebih RM5, malah sayur-sayuran pun boleh dapat dengan harga RM1 seikat, memang berbaloi,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Pesara dari Taman Bukit Tampin, Zaili Shaari, 59, pula berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang membeli barang keperluan pada jualan itu kerana harganya lebih murah dan berkualiti berbanding pasar raya besar atau kedai runcit.

Bapa lapan anak itu turut berharap program berkenaan diadakan lebih kerap sekurang-kurangnya dua ke tiga kali sebulan bagi membantu golongan kurang berkemampuan, terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Pak cik gembira dengan inisiatif kerajaan ini, hari ini pak cik beli beras putih tempatan hanya RM26 bagi 10 kilogram (kg), selalu kalau beli di luar harganya RM40, memang sangat menjimatkan, jadi memang bagus macam ini, harap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau Jabatan Pertanian akan selalu adakan program ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, orang kurang berkemampuan contohnya turut boleh merasai makanan laut seperti udang dan sotong yang dijual sangat mahal di pasaran tapi hanya RM28 sekilo di sini, ikan pula boleh dapat bermula RM9 seekor, jadi sangat membantu rakyat, terutama di kawasan kampung," katanya.

Dalam pada itu, usahawan tani Zainah Yaakub, 50, menyifatkan pelaksanaan Jualan Agro Madani itu sebagai ‘situasi menang-menang’ kerana bukan hanya memberi faedah kepada penduduk sekitar malah menguntungkan usahawan yang mengambil bahagian.

"Ini kerana petani terutamanya boleh menjual hasil tani mereka secara terus tanpa perlu melalui orang tengah yang pastinya akan meningkatkan pulangan diterima, kita boleh terus jual pada pelanggan, mereka boleh jimatkan belanja dan dapat barang segar dari ladang, usahawan juga dapat untung yang tinggi,” katanya.

Timbalan Pengarah FAMA (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan) Negeri Sembilan, Kamaliah Yusoff berkata, seramai 27 usahawan tempatan terlibat dalam jualan hari ini dengan penjimatan antara 20 hingga 30 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 1,000 kampit beras putih tempatan 10kg juga disediakan selain pelbagai barangan basah termasuk kombo Madani mengandungi seekor ayam, sayur-sayuran dan sepeket minyak masak yang dijual pada harga RM15.

"Jualan Agro Madani pada hari ini (Selasa) memberi manfaat kepada 800 ke 1,000 penduduk. Sejak dari pagi memang mendapat sambutan yang sangat baik, program ini memang selalu diadakan dan esok (Rabu) kita akan buat di Gemas pula,” katanya. - Bernama