Mat Sabu, Mujahid antara 124 calon rebut 27 jawatan tertinggi Amanah

Mohamad Sabu, Mujahid
Mohamad Sabu, Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 124 calon akan merebut 27 tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pemilihan parti sesi 2023-2026 yang akan diadakan serentak dengan Konvensyen Nasional 2023 pada 23 dan 24 Disember di Klang, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Dr Zulqarnain Lukman berkata, antara yang menyerahkan borang pencalonan termasuk Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Naib Presiden, Adly Zahari dan Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.

Dalam pemilihan itu, Dr Zulqarnain menjelaskan, perwakilan juga akan memilih calon bagi jawatan Speaker, Timbalan Speaker dan Juruaudit dengan kira-kira 1,100 perwakilan terlibat dalam proses pemilihan kali ini.

"Selepas tarikh tutup serahan borang pencalonan pada 13 Disember 2023, Jawatankuasa Pemilihan Parti Amanah Negara 2023 telah menerima 132 borang pencalonan merangkumi enam Amanah Negeri dan 126 Amanah Kawasan.

"Secara keseluruhannya, 202 nama telah dicalonkan untuk pemilihan kali ini dan selepas saringan kelayakan calon yang merangkumi jumlah pencalonan dan tahun keahlian, 58 calon ditolak pencalonannya atas faktor tidak mendapat pencalonan yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya dua pencalonan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan, dan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.

Ia merupakan penggal terakhir bagi Mohamad jika terpilih sekali lagi untuk mengemudi parti yang mempunyai lebih 200,000 ahli itu.

Zulqarnain berkata, Jawatankuasa Pemilihan parti akan menyiarkan senarai muktamad nama dan gambar calon di laman sesawang khas sebelum pemilihan berlangsung untuk membolehkan perwakilan mengenali calon masing-masing selepas pihak jawatankuasa menerima borang jawapan penerimaan pencalonan.

Beliau berharap kesemua calon dapat mematuhi garis panduan dan etika kempen yang ditetapkan dalam Tatacara Pemilihan parti. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Amanah, pemilihan, Jawatankuasa Pemilihan, Mohamad Sabu, Konvensyen Nasional 2023